KALAM HIKMAH

Apabila anda berada di pagi, jangan menunggu datangnya waktu petang. Hiduplah dalam batasan hari ini sahaja. Curahkan seluruh perhatian anda untuk menjadi lebih baik di hari ini.

Cubalah mengasingkan diri dari manusia, kecuali untuk kebaikan. Jadilah orang yang sentiasa berada di dalam rumah. Laksanakanlah urusan anda dengan baik dan kurangilah pergaulan anda dengan orang lain tanpa faedah.

Perbanyakkanlah mengucap La haulawala quwwata illa billah, kerana kalimah ini dapat melapangkan dada anda, memperbaiki keadaan, perkara yang berat menjadi ringan, dan akan menjadikan diri anda diredhai oleh Dzat Yang Maha Kuasa.

Bergembiralah dengan pilihan Allah untuk anda, sebab anda tidak tahu tentang maslahat yang tersembunyi di sebaliknya. Boleh jadi kesulitan itu lebih baik bagi anda daripada kesenangan.

Yakinlah anda, bahawa dunia ini merupakan tempat yang penuh dengan cubaan, bala', kesulitan dan kesedihan. Oleh kerana itu, terimalah ia seadanya dan selalulah minta pertolongan Allah.

Maniskanlah wajah anda kepada siapa saja, nescaya anda akan mendapatkan cinta kasih mereka. Haluskan tuturkata anda, pasti mereka akan mencintai anda. Dan tawadhu'lah terhadap mereka, pasti mereka akan menghormati anda.

Lihatlah orang yang lebih rendah dari anda dari segi tubuh badan, rupa, harta, rumah, pekerjaan, dan keluarga, nescaya anda akan menyedari bahawa anda masih lebih baik daripada ribuan orang lainnya.

Carilah rezeki yang halal, dan jauhilah rezeki yang haram dan janganlah anda meminta-minta kepada yang lain. Berniaga lebih baik daripada menjadi pegawai. Gandakan harta anda dengan berniaga, dan hiduplah dengan kesederhanaan.

Janganlah marah, sebab marah hanya akan merosakkan keadaan jiwa, mengubah budi pekerti, memperburukkan pergaulan, menghancurkan kasih-sayang, dan memutuskan tali silaturrahim.

Jika anda ingin merasakan kebahagiaan bersama orang lain, maka perlakukanlah mereka dengan cara yang sama yang anda sukai ketika mereka memperlakukan anda. Jangan merendahkan dan meremehkan martabat mereka.

Berbincang dengan teman dapat menghilangkan kesedihan. Bersenda gurau dapat menciptakan suasana santai. Mendengarkan syair dapat menenangkan hati.

Sahabat yang paling baik adalah orang yang sangat anda percaya dan membuat diri anda tenang bersamanya, membantu kesulitan anda, ikut prihatin dengan kegelisahan anda, dan ia tidak menyebarkan rahsia anda.


KATA MOTIVASI

Diri sendiri adalah teman yang paling rapat.

Sebaiknya, sebelum berkahwin lagi, keserasian diambil kira.

Barangsiapa mengahwini wanita kerana hartanya, maka dia telah menjual kemerdekaannya.

Wanita adalah bintang dan pelita bagi lelaki. Tanpa pelita, lelaki bermalam dalam kegelapan.

Wanita lebih cepat daripada lelaki dalam menangis dan dalam mengingatkan peristiwa yang menyebabkan dia menangis.

Seorang wanita yang bijaksana menambahkan gula pada kalimatnya setiap kali berbicara dengan suaminya, dan mengurangi garam pada ucapan suaminya.

Sesungguhnya tidak ada wanita yang sangat cantik, yang ada ialah kaum lelaki yang sangat lemah bila berhadapan dengan kecantikan.

Yakinilah pasangan anda itu adalah yang terbaik buat anda.

Orang yang bahagia sentiasa mudah apabila hendak tidur dan dia boleh tidur dengan lena dan bangkit dengan bersemangat.

Ingat anak-anak, ingat rumahtangga, ingat jiran tetangga, ingat latarbelakang diri, dan ingat agama tatkala bergaduh.

Memaparkan catatan dengan label BERMUJADALAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BERMUJADALAH. Papar semua catatan

Februari 20, 2014

ISteri HARAM Bekerja , Kecuali ...

Bismillahirrahmanirrahim.
Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala  ali Muhammad.





---------------------------------------------------------------------------------------
"Dan orang - orang yang beriman lelaki dan perempuan, sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah SWT; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. "  
( At-Taubah: 71)
-----------------------------------------------------------------------------------------


Konflik kehidupan akan mengisi ruang lingkup semua individu . Konflik ini perlu ditangani dengan ilmu . Ilmu yang dimaksudkan ini bukan sekadar ilmu yang bersifat teori tetapi lebih kepada kefahaman yang jelas terhadap kehendak Allah SWT dalam kehidupan seorang manusia .

Diibaratkan jika ingin membina rumah pelannya harus jelas, arkiteknya, bahan-bahan binaannya dan hiasan dalaman yang diperlukannya juga terperinci .

Jadi , seorang wanita perlu memahami secara jelas peranan dan tanggungjawabnya dalam sesebuah perkahwinan . Jangan rasa terbeban dengan peranan dan tanggungjawab kerana semua ini bertujuan untuk beribadah kepada Allah SWT .


Hukum Wanita Bekerja
Menurut hukum fekah yang berdiri di atas kaedah yang jelas berdasarkan nas al-quran dan hadis menunjukkan wanita mempunyai peranan yang penting dalam mengimarahkan rumahtangga kerana rumahtangga adalah dunia kecil yang menjadi teras kepada pembinaan ummah dan tamadun .

Sehinggakan Allah SWT menegaskan kepada wanita melalui firman-Nya,
"Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu." ( Al-Ahzab : 33 )

Menurut para ulama, tafsir ayat ini diturunkan kepada isteri - isteri Baginda SAW , namun hukumnya merangkumi semua wanita Muslimah . Hal ini demikian kerana masyarakat Muslim perlu membina jati diri dan akhlaknya dari rumah melalui kasih sayang serta perhatian seorang ibu .

Bagaimanapun , perkara ini hanyalah suatu hukum yang berbentuk umum . Dalam situasi yang lain , hukum ini diharuskan bagi wanita untuk memberi sumbangan di luar rumah sebagai kaum lelaki .

Hal ini jelas melalui sirah Baginda SAW yang mana isteri - isteri Baginda SAW ketika itu memainkan peranan dalam masyarakat . Mereka memberi sumbangan kepada masyarakat dengan mengajar para wanita mengenai hal ehwal agama dan kewanitaan . Namun, harus diberi perhatian bahawa kelonggaran ini diberikan dengan syarat tanggungjawab dalam keluarga tidak sesekali diabaikan .


Konteks Semasa 
Hukum asal wajib mencari dan memberi nafkah dalam keluarga terbeban atas seorang suami sahaja .



---------------------------------------------------------------------------------
"Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan . Oleh sebab itu , Allah telah melebihkan orang - orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang - orang perempuan dan juga kerana orang - orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka .  
" ( An- Nisa' : 34 )
----------------------------------------------------------------------------------



Bagaimanapun, realiti semasa telah mengharuskan wanita untuk bekerja bagi memenuhi kepentingan manusia . Ada beberapa kerjaya yang sangat memerlukan penglibatan seorang Muslimah secara khusus bagi menangani masalah Muslimah yang lain .

Kita ambil contoh seperti doktor pakar sakit puan . Kerjaya ini sememangnya memerlukan seorang Muslimah yang pakar untuk penyakit yang berkaitan dengan wanita (genekologi) . Contohnya , kelahiran , penyakit - penyakit dalaman wanita dan sbg.

Dengan adanya Muslimah yang mengambil peranan di sini maka ia telah menyelamatkan Muslimah yang lain daripada melakukan perkara - perkara yang melanggar syarak dan percampuran antara lelaki dan perempuan walaupun dari sudut perubatan . Ia mampu menjaga maruah seorang Muslimah. Ini ialah Fardu Kifayah bagi seorang wanita untuk menyelamatkan wanita lain .

Ada pun sesetengah kerjaya boleh diuruskan dari dalam rumah seperti perniagaan dalam talian dan sbg. maka ia juga adalah harus .

Wanita yang kematian suami atau suami yang uzur tidak dapat keluar mencari nafkah maka ia juga diharuskan untuk pergi bekerja . Namun , semua ini terikat dengan syarat - syarat yang telah digariskan oleh syarak .

Bagaimanapun , terdapat dua kerjaya yang ditegah untuk wanita menceburinya , iaitu pekerjaan sebagai pemimpin negara dan juga sebagai hakim atau qadi .
Dua pekerjaan ini amatlah tidak digalakkan oleh syarak .


Wanita - wanita yang bekerja pada zaman Baginda SAW

Ar - Rubaiyyie binti Mua'wwiz r.ha.
Sukarelawati Perang
beliau berkata , "Kami pernah berperang bersama Nabi SAW , dan kami berkhidmat kepada mereka . Kami menghantar tentera yang terbunuh (syahid ) dan cedera pulang ke Madinah . (Riwayat Buhari)


Ummu Athiyyah r.ha.
Sukarelawati Perang
beliau berkata , "Aku pernah turun ke medan perang bersama Rasulullah SAW dalam tujuh peperangan . Aku berada di belakang rombongan mereka . Aku menyiapkan makanan kepada bala tentera , dan aku merawat tentera yang cedera dan aku mengubati tentera yang sakit .
(Riwayat Muslim)


Sayyidatina Zainab binti Jahsy r.ha.
Usahanita
Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut al-Hakim telah meriwayatkan daripada Sayyidatina Aisyah r.ha. pernah berkata, "Zainab (isteri Baginda SAW) merupakan seorang wanita pengusaha hasil tangannya sendiri . Dia menyamak kulit lalu menjahitkannya dan disedekahkan hasil tersebut 
fi sabilillah . "
(Al - Hakim berkata riwayat ini di atas syarah Muslim)




sumber: FikhWanita ,Ustazah Sumayyah Abdul Aziz
Ijazah Sarjana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Pensyarah Fakulti Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa)



***


Bukan semua orang yang belajar akan faham,
Dan bukan semua orang yang faham akan amal,
..dan bukan semua orang yang amal akan ikhlas,
..dan bukan semua orang ikhlas akan ajar apa yang dia tahu,
..dan bukan semua orang yang mengajar akan menyebabkan orang faham.

Ya Allah! golongkan kami dikalangan orang - orang yang mencari IlmuMu dan belajar, faham , amal, ikhlas dalam menyampaikan IlmuMu dan menjadi asbab yang baik kepada orang - orang sekeliling kami ...


***

Jun 10, 2013

PEJAMKAN MATAMU dan BISIKKAN ke HATI,, pasti kau temukan...

Bismillahirrahmanirrahim.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w.

Mulai bulan 1 Syaaban,  malah sebulan menghampiri Ramadhan...
{Moga Allah memberi kami peluang sekali lagi menemui bulan ramadhan tahun ini} aamiin !!

Jawapan pertama buat diri :-
surah Al-Mukminun
surah Al-Isra'
surah Al-Isra'
surah Al-A'raf

 

Allahu akbar .

Mencari kekuatan jiwa. Bermain persoalan dan jawapan dalam fikiran kala hati bertanya seribu satu pertanyaan kepada Ilahi tatkala mendoakan sesuatu. Dan hati jua menyatakan 'Ya',  "Ia tidak akan ditemukan dan diselesaikan oleh insan lain.. . Ia datang dari dalam kalbu. Dari dalam sana . Hanyasa  jawapan dari mukjizat yang satu-satunya ini jawapanNYA kepada ku..."


Maka,
helaian surah-surah tersebut telah mengalirkan airmata ini tatkala membaca surah dan tafsirannya yang berkenaan. {teman, sila rujuk bacaan/tafsiran surah-surah tersebut andai anda ingin ketahui secara menyeluruh..}.


Takdir pertemuan saya kepada surah Al-Isra' sebanyak dua kali berturut-turut. Penegasan terhadap istilah/maksud Al-Isra' itu sendiri sangat mendalam. Di awal bacaan saya agak terkedu {tertanya, mengapa saya ditemukan dengan surah yang satu ini sebanyak dua kali selang beberapa hari}. Meneruskan bacaan . Sungguh tidak dapat menahan hati di dalam . saya memeluk dan mengucup Qalamullah hingga hampir basah dek linangan airmata. . Allah .

{ini pun masih berat hati berkongsikan ini.. . masih juga menaipkan ini dalam linangan tanpa sedar}

--memikirkan--


Pagi ini. Saya cuba mencari-cari maklumat tentang hikmah Al-Isra' .
Hati menunjuk arah, "cuba singgah ke web yang satu ini...mungkin di situ ada pengukuhan."


Ya, benar. {bagaikan di rencana}  . Allah .

Saya cedok sedikit dan banyaknya Ilmu orangnya buat wadah saya dan teman semua :-
{Mujadalah}


-- -- -- 

Isra’ 
bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Masjidil Aqsa. Ini direkodkan di dalam Al-Quran:-
 
“Maha Suci yang telah menjalankan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang diberkahi sekelilingnya untuk meneranginya dengan ayat-ayat Kami.”
[Surah Al-Israa’ ayat 1]

 

Mi’raj 
pula bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Aqsa, ke langit tertinggi – Sidratul Muntaha – untuk bertemu dengan Allah SWT.
Terdapat hadith yang panjang menceritakan perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha, dan boleh dirujuk di dalam Kitab Raheeq Al-Makhtum.
Isra’ dan Mi’raj berlaku selepas Tahun Kesedihan, yakni selepas kematian Khadijah dan Abu Tolib, juga selepas peristiwa berdarah yang dilalui oleh Rasulullah SAW di To’if. 

Tahun yang merupakan tahun kesedihan bukan dek kerana kematian dua orang manusia yang disayangi oleh Rasulullah SAW, tetapi menurut guru saya – Sheikh Mehmed Thowalbeh – tahun itu dinamakan Tahun Kesedihan kerana kerasnya penolakan orang ramai terhadap Islam.
Maka Isra’ dan Mi’raj ini selain bertujuan menurunkan syariat solat kepada ummat, ianya juga adalah sebuah perjalanan untuk menghiburkan jiwa Rasulullah SAW yang tergoncang hebat dengan ujian yang Allah SWT berikan. 

Dengan perjalanan Isra’ dan Mi’raj ini, keimanan Rasulullah SAW dipertingkatkan lagi, dengan terpampang dengan jelasnya syurga dan neraka di hadapan baginda, bahkan berbicara secara langsung dengan Allah SWT sendiri.


Pengajaran 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Isra’ dan Mi’raj menjadi satu titik di mana kita dapat melihat bahawa sekuat mana pun seorang manusia, maka dia memerlukan sokongan Tuhannya. Dia perlu bergantung kepada Allah SWT untuk meneruskan perjalanannya. Rasulullah SAW dipujuk dengan Isra’ dan Mi’raj, begitulah kita juga perlu dipujuk oleh Allah SWT kerana kita hanya manusia biasa. Namun pastinya kita tidak dihadiahkan dengan hadiah seistimewa Rasulullah SAW – yakni perjalanan Isra’ dan Mi’raj itu sendiri.
 
Namun, lihatlah apa yang Rasulullah SAW bawa pulang dari perjalanan Isra’ dan Mi’raj sebagai hadiah daripada Allah SWT untuk sekalian ummat Islam?

Solat lima waktu.

Itulah dia pujukan Allah SWT kepada ummat. Memulakan hari dengan hubungan erat bersama Allah SWT pada waktu Subuh, mempunyai checkpoint rehat untuk mengadu dan meminta kekuatan kepada Allah SWT pada Zuhur, Asar dan Maghrib. Dan sebelum menutup hari, kita dapat menumpahkan segala penyesalan kita akan salah silap kita pada hari ini serta harapan dan cita-cita kita pada hari esok dengan Solat Isya’. Kelima-lima Solat Fardhu ini adalah untuk memastikan hubungan seorang hamba dengan Allah SWT sentiasa berjalan. Manusia diajar untuk sentiasa memeriksa hubungannya dengan Allah SWT.
Kerana kita memerlukanNya.
 
Besarnya perkara ini, hingga Solat itu tidak diturunkan sebagaimana hukum-hukum biasa. Rasulullah SAW sendiri perlu naik ke langit, mendapatkannya. Kerana itu solat ini masyhur sebagai tiang agama. Kerana jika kita tidak punya hubungan baik dengan Allah SWT, di manakah harganya agama kita?
 

Persoalannya, apakah kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT?

Adakah kita menghargai hadiah daripada Allah SWT ini, atau kita campakkan sahaja ke tepi?
 
Adakah kita solat dengan bersungguh-sungguh, dan menjadikannya sebagai checkpoint untuk mengadu dan meminta kekuatan daripada Allah SWT?


Kemudian kita hairan mengapa kita ‘lemah’ untuk menghadapi duga dan duka kehidupan yang memang akan sentiasa menghampiri kita sehingga kita mati?
 
Muhasabah.


Pengajaran 2: Hidup Akan Ada TapisanNya.
 
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah peristiwa yang tidak masuk dek akal.  Seorang lelaki tanpa teknologi jet berkelajuan tinggi, tiba-tiba boleh bergerak dari Makkah ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit tertinggi, seterusnya pulang ke Makkah dalam masa semalam sahaja. 

Bukan sehari semalam, tetapi semalam sahaja. Bermakna, kurang dari 12 jam, bahkan kurang dari 5-6 jam.
 
Peristiwa yang luar dari capaian akal ini menjadi ‘tumbukan’ hebat para musyrikin Quraisy untuk menghentam perjuangan Rasulullah SAW. Akibat bombastiknya peristiwa ini, akhirnya ramai yang lemah keimanannya meninggalkan Islam dan merasakan Muhammad SAW telah menjadi gila.

Namun jika kita perasan, selepas peristiwa Isra’ dan Mi’raj, tidak lama selepas itu berlakulah peristiwa Hijrah

Kita mengetahui bahawa peristiwa Hijrah ke Yathrib/Madinah menjadi point terpenting dalam pembinaan sebuah daulah Islam, yang selepas itu menguasai seluruh jazirah arab termasuk Makkah sendiri, seterusnya memberikan kegentaran kepada Rom dan Parsi.
 
Maka dapat kita lihat bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah satu bentuk ‘tapisan’ yang dijalankan oleh Allah SWT kepada ummat Islam ketika itu. Agar hanya yang terbaik sahaja yang akan melepasinya, dan menjadi asas-asas utama kepada pembinaan daulah Islam di Madinah.
 
Allah SWT berfirman:  
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan berkata: kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?” 
[Surah Al-Ankabut ayat 2.]
 
Begitulah kita perlu mengambil pengajaran.  Bahawa di dalam kehidupan ini, kita akan ditapis dengan pelbagai jenis ujian. Baik kesusahan, baik kesenangan, atau ujian dalam bentuk ideologi. 

Yang mana akan ada dari kalangan kita yang tumbang, dan akan ada dari kalangan kita akan mara ke hadapan. Yang berjaya akan menjadi batu-batu asas kepada kemenangan Islam di masa hadapan.
 
Maka adalah merupakan satu urgensi untuk kita memperkasakan diri dari segi ilmu agama, ilmu realiti, agar berlakunya peningkatan intelek pada minda kita, serta diperkasakan juga hubungan kita dengan Allah SWT, menjaga ibadah dan memberikan makanan kepada hati kita, agar kita terselamat dari tapisan ini, seterusnya menjadi yang mara ke hadapan membawa perjuangan agama ini.


Penutup: Sama-samalah kita Menjaga Hubungan dengan Allah SWT
 
Maka marilah kita perhatikan hubungan kita dengan Allah SWT.
Jangan kita ambil endah dengan kesihatan hubungan kita denganNya.
Pastikan ibadah kita terjaga, dan ilmu kita berkenaan agamaNya diperdalamkan. 

Sentiasalah bermuhasabah, dan melakukan pembaikan terhadap diri kita. Benda baik kita tambah-tambahkan dan jadikan darah daging, benda buruk kita kurang-kurangkan dan jauhi.
 
Ramadhan juga semakin hampir. Adalah perlu kita meningkatkan stamina keimanan kita, agar kita mampu menggempur Ramadhan dengan tenaga kita yang tertinggi, dan memungut pelbagai lagi hadiah yang Allah SWT taburkan buat kita di dalam bulan yang mulia tersebut.

Jangan lengah memperbaiki diri.

Sampai ke Ramadhan pun belum tentu lagi.

Jangan tunggu.

---sumber---


Allahumma salli 'ala muhammad.

InsyaAllah...

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
 

Rabbanaa Laa Tuyigh Quluubanaa Ba'da Idz Hadaitanaa wa Hab Lana Mil-Ladunka Rahmatan Innaka Antal-Wahhaab
aamiin.

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia).

(QS. Ali Imran: 7)










April 24, 2013

Kehidupan : Matlamat Ukhrawi



***


Bismillahirrahmanirrahim.
{selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah s.a.w}

Al-Quran punya keajaiban. Seni penyampaiannya adalah antara yang menakjubkan. Kadangkala hanya satu ayat memberikan kenikmatan. Kadangkala hanya dengan membacanya wujud ketenangan. Namun Al-Quran bukan semata-mata kitab teori. Tetapi juga kitab praktis untuk diamalkan. Keseniannya juga merupakan satu praktis untuk digerakkan.

Maka di sini saya hendak membawa kepada satu ayat Al-Quran yang mempersembahkan kesenian yang tertinggi di dalam hal mencapai matlamat ukhrawi.
Dalam satu ayat, Allah mempersembahkan kesenian yang menakjubkan, dan secara tidak langsung mendidik kita untuk menghadirkan satu seni dalam mencapai matlamat ukhrawi itu sendiri.


Ayat 185, Surah Ali Imran.
Allah SWT berfirman di dalam ayat ini:
“Sesungguhnya setiap yang bernyawa akan merasai kematian. Dan sesungguhnya setiap perbuatan kamu akan disempurnakan pembalasannya di hari akhirat. Maka barangsiapa yang diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tidaklah kehidupan di dunia itu, melainkan kesenangan yang menipu daya.”
Surah Ali Imran, ayat 185.

Yang menarik perhatian saya terhadap ayat ini
Ayat ini menarik perhatian saya. Terdapat 4 perkara penting yang ditekankan.
1. Setiap yang bernyawa akan merasai kematian.
2. Setiap amal perbuatan kita akan disempurnakan balasannya di hari akhirat.
3. Sesungguhnya yang berjaya itu, hanyalah yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
4. Dunia ini, tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu daya.
Jika kita perhatikan. Ayat ini, dari point pertama hinggalah ke point yang ketiga, menerangkan berkenaan akhirat(kematian, pembalasan, syurga dan neraka). Perjalanannya mengikut langkah turutan peristiwa yang betul. Kita mati – dihitung di padang mahsyar – masuk syurga@neraka.
Tetapi yang anehnya, point yang keempat diingatkan berkenaan dunia. Sedangkan, dunia itu kita lalui sebelum kematian.

Mengapa?

Seni Allah SWT yang menakjubkan
Sekiranya hendak dibahaskan satu persatu berkenaan point yang diberikan, pasti tidak cukup kolum saya pada ruangan kecil ini. Mungkin sahaja tajuk ini dapat dijadikan satu buku jika dihuraikan secara penuh. Walaupun asasnya, ia hanyalah satu ayat Al-Quran.

Di sini Allah menunjukkan kepada kita, berkenaan akhirat yang akan menjadi tempat kembalinya manusia. Allah menekankan bahawa, kita semua akan menghadapi kematian. Kemudian Allah menjelaskan kepada kita bahawa, kematian itu bukan pengakhiran. Ada satu lagi dunia, yang mana kehidupan kita sebelum mati dijadikan perhitungan untuk mendapat satu antara dua tempat. Syurga dan neraka.

Allah telah menetapkan kepada kita, manusia, bahawa syurga adalah destinasi akhir yang merupakan penanda aras kepada kejayaan. Allah mendeklarasikan dengan amat jelas bahawa, yang berjaya itu hanyalah yang masuk ke syurga, dan selamat dari neraka.

Maka di sini, Allah menerangkan matlamat. Ukhrawi adalah matlamat kita. Di situlah dia wujudnya kejayaan hakiki. Selain itu, bukanlah namanya kejayaan pada hakikatnya.

Di sinilah wujudnya kesenian yang menakjubkan, apabila ayat itu disempurnakan dengan:
“Dan tidaklah kehidupan di dunia itu, melainkan kesenangan yang menipu daya.”

Mengapa tiba-tiba disebut dunia sebagai penyempurnaan ayat?

Kerana kamu masih hidup, dan untuk mengajar kamu hakikat hidup di atas dunia
Hal ini kerana, kita masih hidup. Kita belum mati. Kita belum disempurnakan pembalasannya. Kita masih belum masuk ke neraka. Kita masih hidup di atas dunia. Maka di sinilah Allah menarik kita kembali(yang sudah terpukau seakan-akan kita benar-benar berada di dalam akhirat kerana tiga point asal tadi) ke realiti bahawa semua itu belum lagi berlaku.

Kita masih ada peluang. Di sinilah wujudnya ‘harapan’. Maka Allah tidak sekadar berpesan: 
“Kamu masih hidup.” Begitu sahaja. Tetapi Allah dengan cantiknya menyatakan berkenaan: “Kehidupan di dunia, tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu daya.”

Allah ingin kita lihat kembali kehidupan kita. Lihat hakikat kehidupan di dunia. Dunia bukan matlamat. Dunia hakikatnya hanyalah wasilah untuk kita mendapatkan akhirat. Kesedaran itulah yang diserapkan ke dalam ayat ini hakikatnya.

Maka pada satu sisi yang lain, Allah sebenarnya sedang mengajar kepada kita:
“Maka janganlah kamu tertipu dengan dunia ini. Gunakanlah dia untuk mencapai kejayaan yang hakiki yang telah aku nyatakan tadi.”

Nah. Ini dia kesenian yang tertinggi.

Akhirnya kita nampak akan ‘realiti’.

Dan kita mendapat satu seni dalam mengejar matlamat ukhrawi.

Apakah dia?

Seni mempergunakan dunia.

Kita pergunakan dunia, bukan dunia pergunakan kita.

Kita lepaskan diri kita dari penipuan dunia. Dalam mengejar "kejayaan hakiki" tadi, mata kita hanya melihat akhirat sebagai matlamatnya. Tetapi, apakah kita meninggalkan dunia? Tidak.
Dengan apa kita hendak mencapai akhirat, kalau bukan dengan menjalani kehidupan yang terbaik di atas dunia. ...

Di atas dunia kita boleh beramal. Maka jangan tertipu dengan kesenangan yang menarik kita keluar dari jalan amal. Bahkan kita gunakan segala kesenangan yang ada pada kita untuk beramal dengan lebih baik.

Di atas dunia kita masih boleh berikhtiar, berusaha. Maka jangan tertipu dengan anasi-anasir yang mengajak kita memiliki ikhtiar dan berusaha ke arah yang salah. Bahkan kita gunakan peluang ikhtiar dan berusaha itu ke arah untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Di atas dunia kita masih ada waktu. Maka jangan kita tertipu dengan waktu yang seakan banyak. Bahkan, kita gunakan segala waktu yang masih ada pada kita, untuk kita gunakan ke arah mendapat keredhaan Allah SWT.

Tidakkah kita melihat demikian?

Semoga Allah redha, dengan seni yang baru kita capaikan.

Mac 27, 2013

Tiba-tiba kini aku telah TUA... ..

Azali . Manusia suka membuat perbandingan antara dirinya dengan makhluk Allah yang lain . Tidak dapat banyak.. .sedikit pun tetap membanding - bandingkan hal sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besarnya perubahan, kebendaan... kepandaian... kekayaan... kecantikan... pengaruh... kemahiran.. dan sebagainya .

Setiap dari kalangan kita bernama Insan pastilah ada keistimewaan , kelebihan , kurniaan yang Allah beri. Saling lengkap melengkapilah antara kita Insan makhlukNYA. Maka itu sebaik - baiknya manusia yang berIman .

Dan, saya berkata hal sedemikian ini bukanlah beranggapan bahawasanya, "aku sudah cukup bagus .

Apalah hebatnya aku.. .siapalah aku ini . Seorang Insan yang didetikkan "hati" nya berkata-kata [itupun datangnya ilham dariNYA] melalui kuasa keyboard di depan mata{di hujung jari... .} Hanyasa DIAlah sebenar-benar tempat bergantung harap ganjaran , kasih dan sayang . Segala puji-pujian, kebaikan, adalah dariNYA dan padaNYA lah kembali segala pujian itu .

Berazamkan kesedaran , selalu berfikir , mencari erti sebuah kehidupan . Ke mana hala tujuan hidup seseorang manusia setelah mampu berfikir telus. Kepuasan menulis bertitik noktahnya di mana/ ke mana/  Mencari... .mencari dan teruslah mencari rahsia . Singkap rahsia itu pasti hati menangis ketenangan , mensyukuri . Allah masih menyayangi . Allah masih menoleh ke arahku . Allah menungguku mengubah. Berubah . Hijrah . Berusaha . Tanpa usaha dan do'a tidak ke mana . Setiap penghijrahan seseorang Insan pasti Allah akan menguji .

Test . Mampukah Insan ini menjadi hambaKU... mampukah Insan ini mengatasi ujian :
kecewa (hati) / kesakitan / kemiskinan / kemusnahan / kematian / anak,isteri,suami,keluarga /
harta / agama / . dsbg. [nauzubillah]


Allahu Allah
Allahu Allah
Allahu Allah


Kekuatan aku kembali.. ...
- - - - - - -
- - - - - - -
- - - - - - -
 "Aku Berusaha Kerana ,
Aku Tidak Mengetahui.. . .

Ternyata. Setelah satu proses tarbiyah diri..memuhasabahkan diri melalui pembacaan (buku2 ilmiah selalu menemani disaat rapuh). Aku belajar suatu perkara lagi . Yakni, " kita beramal, kerana kita sebenarnya tidak tahu apakah yang telah ditetapkan kepada kita . Kita tidak tahu pengakhiran kita. Maka, sewajarnya saat kehidupan yang sedang kita jalani diisi dengan kebaikan-kebaikan dan usaha-usaha untuk masa hadapan yang kita harapkan. Bukan setakat di dunia tetapi menuju hingga ke akhirat sana . InsyaAllah . Permudahkan perjalananku dan sahabat seIslamku, Ya Allah Ya Rabbi .

Berbaik sangka kepada ALLAH setiap kali diujiNYA.


***

Berhati-hatilah terhadap Kehidupan Duniawi
" Tidak ada suatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah ; dan barangsiapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu". [surah Al-Taghabun : ayat 11]


***
" Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan(bakhil), sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan dariNya dan kurniaanNya. Dan Allah Maha Luas (Kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui" .   
[surah al-Baqarah : ayat 268 ]


***





***




Dengan menulis aku ada

Dengan menulis aku hidup

Dengan menulis aku membaca

Dengan menulis aku dibaca

Dengan menulis aku mengetahui

Dengan menulis aku diketahui

Dengan menulis aku faham

Dengan menulis aku difahami

Dengan menulis aku menghargai

Dengan menulis aku dihargai

Dengan menulis aku berubah

Dengan menulis aku mengubah

Dengan menulis aku beribadah

Dengan menulis aku berdakwah

Dengan menulis aku bersaudara

Dengan menulis aku mengabdi

Dengan menulis aku menjadi diri sendiri.



Budayawan Yogyakarta , Zainal Arifin Thoha
Zainal Arifin Thoha, Aku Menulis, Maka Aku Ada
(Yogyakarta;Kutub,cet.1,2005),ms.1. 



NetOops protected image