***
Bismillahirrahmanirrahim.
{selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah s.a.w}
Al-Quran punya keajaiban. Seni penyampaiannya adalah antara yang
menakjubkan. Kadangkala hanya satu ayat memberikan kenikmatan.
Kadangkala hanya dengan membacanya wujud ketenangan. Namun Al-Quran
bukan semata-mata kitab teori. Tetapi juga kitab praktis untuk
diamalkan. Keseniannya juga merupakan satu praktis untuk digerakkan.
Maka di sini saya hendak membawa kepada satu ayat Al-Quran yang
mempersembahkan kesenian yang tertinggi di dalam hal mencapai matlamat
ukhrawi.
Dalam satu ayat, Allah mempersembahkan kesenian yang menakjubkan, dan
secara tidak langsung mendidik kita untuk menghadirkan satu seni dalam
mencapai matlamat ukhrawi itu sendiri.
Ayat 185, Surah Ali Imran.
Allah SWT berfirman di dalam ayat ini:
“Sesungguhnya setiap yang bernyawa akan merasai kematian. Dan sesungguhnya setiap perbuatan kamu akan disempurnakan pembalasannya di hari akhirat. Maka barangsiapa yang diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tidaklah kehidupan di dunia itu, melainkan kesenangan yang menipu daya.”
Surah Ali Imran, ayat 185.
Yang menarik perhatian saya terhadap ayat ini
Ayat ini menarik perhatian saya. Terdapat 4 perkara penting yang ditekankan.
1. Setiap yang bernyawa akan merasai kematian.
2. Setiap amal perbuatan kita akan disempurnakan balasannya di hari akhirat.
3. Sesungguhnya yang berjaya itu, hanyalah yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
4. Dunia ini, tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu daya.
Jika kita perhatikan. Ayat ini, dari point pertama hinggalah ke point yang ketiga, menerangkan berkenaan akhirat(kematian, pembalasan, syurga dan neraka). Perjalanannya mengikut langkah turutan peristiwa yang betul. Kita mati – dihitung di padang mahsyar – masuk syurga@neraka.
Tetapi yang anehnya, point yang keempat diingatkan berkenaan dunia. Sedangkan, dunia itu kita lalui sebelum kematian.
Mengapa?
Seni Allah SWT yang menakjubkan
Sekiranya hendak dibahaskan satu persatu berkenaan point yang
diberikan, pasti tidak cukup kolum saya pada ruangan kecil ini. Mungkin
sahaja tajuk ini dapat dijadikan satu buku jika dihuraikan secara penuh.
Walaupun asasnya, ia hanyalah satu ayat Al-Quran.
Di sini Allah menunjukkan kepada kita, berkenaan akhirat yang akan
menjadi tempat kembalinya manusia. Allah menekankan bahawa, kita semua
akan menghadapi kematian. Kemudian Allah menjelaskan kepada kita bahawa,
kematian itu bukan pengakhiran. Ada satu lagi dunia, yang mana
kehidupan kita sebelum mati dijadikan perhitungan untuk mendapat satu
antara dua tempat. Syurga dan neraka.
Allah telah menetapkan kepada kita, manusia, bahawa syurga adalah
destinasi akhir yang merupakan penanda aras kepada kejayaan. Allah
mendeklarasikan dengan amat jelas bahawa, yang berjaya itu hanyalah yang
masuk ke syurga, dan selamat dari neraka.
Maka di sini, Allah menerangkan matlamat. Ukhrawi adalah matlamat
kita. Di situlah dia wujudnya kejayaan hakiki. Selain itu, bukanlah
namanya kejayaan pada hakikatnya.
Di sinilah wujudnya kesenian yang menakjubkan, apabila ayat itu disempurnakan dengan:
“Dan tidaklah kehidupan di dunia itu, melainkan kesenangan yang menipu daya.”
Mengapa tiba-tiba disebut dunia sebagai penyempurnaan ayat?
Kerana kamu masih hidup, dan untuk mengajar kamu hakikat hidup di atas dunia
Hal ini kerana, kita masih hidup. Kita belum mati. Kita belum
disempurnakan pembalasannya. Kita masih belum masuk ke neraka. Kita
masih hidup di atas dunia. Maka di sinilah Allah menarik kita
kembali(yang sudah terpukau seakan-akan kita benar-benar berada di dalam
akhirat kerana tiga point asal tadi) ke realiti bahawa semua itu belum
lagi berlaku.
Kita masih ada peluang. Di sinilah wujudnya ‘harapan’. Maka Allah
tidak sekadar berpesan:
“Kamu masih hidup.” Begitu sahaja. Tetapi Allah
dengan cantiknya menyatakan berkenaan: “Kehidupan di dunia, tidak lain
hanyalah kesenangan yang menipu daya.”
Allah ingin kita lihat kembali kehidupan kita. Lihat hakikat
kehidupan di dunia. Dunia bukan matlamat. Dunia hakikatnya hanyalah
wasilah untuk kita mendapatkan akhirat. Kesedaran itulah yang diserapkan
ke dalam ayat ini hakikatnya.
Maka pada satu sisi yang lain, Allah sebenarnya sedang mengajar kepada kita:
“Maka janganlah kamu tertipu dengan dunia ini. Gunakanlah dia untuk mencapai kejayaan yang hakiki yang telah aku nyatakan tadi.”
Nah. Ini dia kesenian yang tertinggi.
Akhirnya kita nampak akan ‘realiti’.
Dan kita mendapat satu seni dalam mengejar matlamat ukhrawi.
Apakah dia?
Seni mempergunakan dunia.
Kita pergunakan dunia, bukan dunia pergunakan kita.
Kita lepaskan diri kita dari penipuan dunia. Dalam mengejar "kejayaan hakiki" tadi, mata kita hanya melihat akhirat sebagai matlamatnya. Tetapi, apakah kita meninggalkan dunia? Tidak.
Dengan apa kita hendak mencapai akhirat, kalau bukan dengan menjalani kehidupan yang terbaik di atas dunia. ...
Di atas dunia kita boleh beramal. Maka jangan tertipu dengan kesenangan yang menarik kita keluar dari
jalan amal. Bahkan kita gunakan segala kesenangan yang ada pada kita
untuk beramal dengan lebih baik.
Di atas dunia kita masih boleh berikhtiar, berusaha. Maka jangan
tertipu dengan anasi-anasir yang mengajak kita memiliki ikhtiar dan
berusaha ke arah yang salah. Bahkan kita gunakan peluang ikhtiar dan
berusaha itu ke arah untuk mendapat keredhaan Allah SWT.
Di atas dunia kita masih ada waktu. Maka jangan kita tertipu dengan
waktu yang seakan banyak. Bahkan, kita gunakan segala waktu yang masih
ada pada kita, untuk kita gunakan ke arah mendapat keredhaan Allah SWT.
Tidakkah kita melihat demikian?
Semoga Allah redha, dengan seni yang baru kita capaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan