Allah menjadikan manusia lengkap dengan anggota badan dan setiap yang diciptakan itu mempunyai fungsinya sendiri. Apabila setiap anggota tubuh itu tidak dapat berfungsi, pastilah ada sesuatu yang tidak kena, misalnya 'sakit'.
Oleh kerana sudah termaktub, setiap yang diciptakan Allah itu tiada kekal untuk selamanya, satu ketika ia akan lenyap juga. Bagaimanapun, sebelum itu terlebih dahulu akan berlaku sebabnya.
Sebagai contoh, jika mata rosak, tangan lumpuh; kaki patah; telinga pekak dan sebagainya adalah antara sebab anggota itu tidak dapat berfungsi dan ia dianggap sudah hilang atau lenyap keupayaannya.
Iyaa.. jika berlaku pada anggota badan yang dapat dilihat, tetapi bagaimana halnya jika sakit itu berlaku di dalam tubuh kita. Sebagai contoh, sakit hati. Apabila hati berasa sakit, tuan punya badan sudah tentu berasa tidak senang untuk melakukan apa sahaja seperti ibadat kepada Allah dan sebagainya.
Pada manusia, hati adalah tujang utama untuk menggerakkan seseorang melaksanakan sesuatu. Dengan adanya hati, kita dapat mengenal diri sendiri, apa fungsinya kita hidup, siapa yang menciptakan dan lain-lain.
Apabila kita mengenal sesuatu, kita akan dapat mengingati Allah yang menciptakannya. Tetapi jika kita tidak mengingati sesiapa, bermakna seseorang itu tidak mengenal siapa penciptanya. Sesudah kita mengenal penciptanya maka secara tidak langsung timbul rasa kecintaan terhadap Allah.
Tanda seseorang cinta kepada Allah ialah ia akan melebihkan cinta kepada penciptaNya dan mengenepikan rasa cintanya kepada yang lain.
Dalam surah at-Taubah ayat 24, Allah berfirman menerangkan mengenai rasa cinta terhadap Allah, bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad) kalau bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu kawan-kawanmu, dan harta-harta yang kalian simpan; dagangan-dagangan yang kalian khuatir tidak laku dan rumah-rumah yang kalian sukai ada lebih tercinta bagi kalian daripada Allah dan Rasul-Nya dan berjuang menegakkan agamanya, maka tunggu sajalah sampai Allah mendatangkan keputusannya."
Ayat Al-Quran di atas menjelaskan kepada kita, walaupun kita sayangkan harta, rumah yang cantik atau barang-barang dagangan yang bakal diniagakan, sebenarnya sayang kepada Allah, itulah yang sebaik-baiknya.
Tetapi sayang, di antara kita lebih mengutamakan sayang kepada hal-hal yang menuju keduniaan sedangkan bekalan untuk menuju ke akhirat dilupakan. Apabila sudah berlumba-lumba mencari harta dunia maka akan menjelmalah perasaan sombong dan riak. Sesudah riak ini meresap ke dalam diri kita alamatlah hati kita akan diresapi penyakit.
Mengubati penyakit hati bukanlah mudah seperti luka-luka di badan. Ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi dapat diperhatikan daripada percakapan dan tingkah lakunya. Jika tingkah lakunya tidak kena seperti mengumpat, tidak dapat mengawal perasaan, cepat marah, hasad dengki bermakna hati orang itu sedang dilanda krisis.
Lazimnya hanya mereka yang sedar akan cuba memperbaikinya tetapi berapa ramai yang sedar mengenai keburukan pada diri sendiri???? Biasanya betapa kecilnya kesalahan pada orang lain dapat kita lihat tetapi kesalahan yang besar pada diri kita, tidak kita sedari.
Perlulah diketahui bahawa ada empat (4) sifat hati pada manusia. Sifat-sifat itu :-
- Kekerasan
- Kebinatangan
- kesyaitanan
- Ketuhanan
Apabila manusia itu sudah dikuasai nafsu syahwat yang tidak terkawal dia akan melakukan perbuatan ganas seperti memperkosa dan mencabul kehormatan orang lain. Apa yang mereka lakukan itu sama dengan sifat-sifat binatang.
Manakala manusia yang diresapi dengan sifat-sifat ketuhanan dia gemar kepada keluhuran, lemah lembut dan banyak lagi sifat terpuji.
Mereka yang bersifat kesyaitanan pula, walaupun dibandingkan dengan binatang tidak jauh bezanya tetapi dari segi syahwat kedua-duanya ada persamaan. Mereka yang mempunyai kuasa, kekuatan akan mempergunakan kelebihan itu untuk tujuan yang tidak baik. Mereka menggunakan tipu helah atau apa saja untuk menarik orang lain ke kancah kehinaan. Perlakuan seperti ini seperti yang diketahui, adalah perbuatan syaitan.
Apabila merenungkan keempat-empat sifat ini, kita berasakan dalam seluruh tubuh kita ini diselaputi dengan pelbagai campuran benda-benda yang tidak suci, lebih banyak unsur-unsur yang tidak mendatangkan kebaikan.
Sifat kekerasan, kebinatangan dan kesyaitanan adalah tiga (3) sifat yang jelek. Cuma sifat ketuhanan saja yang dianggap suci. Apabila manusia terlalu banyak dikuasai tiga sifat itu maka akan tewaslah keImannya jika tidak tebal sifat ketuhannya.
Orang yang bijaksana dapat meletakkan hati kita setaraf dengan sifat-sifat ketuhanan. Maksudnya ia dapat menolak dan menghindari daripada melakukan tipu helah, kekejaman, kekerasan dan sebagainya. Sebaliknya mereka dapat cahaya penerang di dalam hidupnya untuk memandu ke arah jalan kebenaran.
Jika kebijaksanaan seumpama itu dilaksanakan dalam pentadbiran, maka akan amanlah keadaan negara kerana setiap urusan dilakukan di atas jalan kebenaran. Setiap ajaran atau pengaruh yang baik akan menambahkan kecemerlangan sebagaimana cemerlang dan terangnya hati yang putih bersih.
Sehubungan ini Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud:
" Apabila Allah mengkehendaki kebajikan kepada seseorang, maka Allah akan menjadikan untuknya penasihat dari hatinya (sendiri)."
" Barangsiapa yang hatinya menjadi penasihat baginya maka Allah akan menjadi pelindung atasnya."
Penasihat yang dimaksudkan di sini ialah seseorang itu dapat mengawal diri daripada melakukan sesuatu yang dilarang dan sentiasa mengingati Allah. Di dalam Al-Quran surah ar-Raad ayat 38 Allah berfirman, maksudnya:
" Sesungguhnya dengan mengingati Allah akan menjadi tenanglah semua hati."
Perlu diingatkan punca ketidaktenangan hati mungkin kerana beberapa sebab. Antaranya kerana tidak mendekatkan diri kepada Allah, banyak melakukan dosa, menganggap ringan urusan akhirat kerana asyik mengejar urusan dunia dan sebagainya.
Apabila diri sudah ditimbuni dengan dosa, secara tidak langsung menyebabkan hati menjadi buta. Dosa-dosa dalam diri adalah titik-titik hitam dan akan bertambah hitam selagi idak bertaubat dan sering melakukan dosa.
Dalam hadis yang maksudnya:-
" Berkata Maimun bin Mahran: Apabila seseorang melakukan dosa maka terjadilah di hatinya satu bintik hitam apabila ia berhenti dan bertaubat maka mengkilat (kembali) lah hatinya tetapi apabila dia kembali (berbuat dosa) akan bertambahlah bintik-bintik hitam itu sehingga mentutupi hatinya. "
- Hati yang bersih iaitu di dalamnya ada lampu yang bersinar.
- Hati yang hitam terbalik iaitu milik orang kafir.
- Hati yang terbungkus dan terbalut dengan bungkusannya sekali, iaitu milik hati orang munafik.
- Hati yang dicampur aduk yang di dalamnya terdapat iman.
Sumber