KALAM HIKMAH

Apabila anda berada di pagi, jangan menunggu datangnya waktu petang. Hiduplah dalam batasan hari ini sahaja. Curahkan seluruh perhatian anda untuk menjadi lebih baik di hari ini.

Cubalah mengasingkan diri dari manusia, kecuali untuk kebaikan. Jadilah orang yang sentiasa berada di dalam rumah. Laksanakanlah urusan anda dengan baik dan kurangilah pergaulan anda dengan orang lain tanpa faedah.

Perbanyakkanlah mengucap La haulawala quwwata illa billah, kerana kalimah ini dapat melapangkan dada anda, memperbaiki keadaan, perkara yang berat menjadi ringan, dan akan menjadikan diri anda diredhai oleh Dzat Yang Maha Kuasa.

Bergembiralah dengan pilihan Allah untuk anda, sebab anda tidak tahu tentang maslahat yang tersembunyi di sebaliknya. Boleh jadi kesulitan itu lebih baik bagi anda daripada kesenangan.

Yakinlah anda, bahawa dunia ini merupakan tempat yang penuh dengan cubaan, bala', kesulitan dan kesedihan. Oleh kerana itu, terimalah ia seadanya dan selalulah minta pertolongan Allah.

Maniskanlah wajah anda kepada siapa saja, nescaya anda akan mendapatkan cinta kasih mereka. Haluskan tuturkata anda, pasti mereka akan mencintai anda. Dan tawadhu'lah terhadap mereka, pasti mereka akan menghormati anda.

Lihatlah orang yang lebih rendah dari anda dari segi tubuh badan, rupa, harta, rumah, pekerjaan, dan keluarga, nescaya anda akan menyedari bahawa anda masih lebih baik daripada ribuan orang lainnya.

Carilah rezeki yang halal, dan jauhilah rezeki yang haram dan janganlah anda meminta-minta kepada yang lain. Berniaga lebih baik daripada menjadi pegawai. Gandakan harta anda dengan berniaga, dan hiduplah dengan kesederhanaan.

Janganlah marah, sebab marah hanya akan merosakkan keadaan jiwa, mengubah budi pekerti, memperburukkan pergaulan, menghancurkan kasih-sayang, dan memutuskan tali silaturrahim.

Jika anda ingin merasakan kebahagiaan bersama orang lain, maka perlakukanlah mereka dengan cara yang sama yang anda sukai ketika mereka memperlakukan anda. Jangan merendahkan dan meremehkan martabat mereka.

Berbincang dengan teman dapat menghilangkan kesedihan. Bersenda gurau dapat menciptakan suasana santai. Mendengarkan syair dapat menenangkan hati.

Sahabat yang paling baik adalah orang yang sangat anda percaya dan membuat diri anda tenang bersamanya, membantu kesulitan anda, ikut prihatin dengan kegelisahan anda, dan ia tidak menyebarkan rahsia anda.


KATA MOTIVASI

Diri sendiri adalah teman yang paling rapat.

Sebaiknya, sebelum berkahwin lagi, keserasian diambil kira.

Barangsiapa mengahwini wanita kerana hartanya, maka dia telah menjual kemerdekaannya.

Wanita adalah bintang dan pelita bagi lelaki. Tanpa pelita, lelaki bermalam dalam kegelapan.

Wanita lebih cepat daripada lelaki dalam menangis dan dalam mengingatkan peristiwa yang menyebabkan dia menangis.

Seorang wanita yang bijaksana menambahkan gula pada kalimatnya setiap kali berbicara dengan suaminya, dan mengurangi garam pada ucapan suaminya.

Sesungguhnya tidak ada wanita yang sangat cantik, yang ada ialah kaum lelaki yang sangat lemah bila berhadapan dengan kecantikan.

Yakinilah pasangan anda itu adalah yang terbaik buat anda.

Orang yang bahagia sentiasa mudah apabila hendak tidur dan dia boleh tidur dengan lena dan bangkit dengan bersemangat.

Ingat anak-anak, ingat rumahtangga, ingat jiran tetangga, ingat latarbelakang diri, dan ingat agama tatkala bergaduh.

Jun 10, 2013

PEJAMKAN MATAMU dan BISIKKAN ke HATI,, pasti kau temukan...

Bismillahirrahmanirrahim.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w.

Mulai bulan 1 Syaaban,  malah sebulan menghampiri Ramadhan...
{Moga Allah memberi kami peluang sekali lagi menemui bulan ramadhan tahun ini} aamiin !!

Jawapan pertama buat diri :-
surah Al-Mukminun
surah Al-Isra'
surah Al-Isra'
surah Al-A'raf

 

Allahu akbar .

Mencari kekuatan jiwa. Bermain persoalan dan jawapan dalam fikiran kala hati bertanya seribu satu pertanyaan kepada Ilahi tatkala mendoakan sesuatu. Dan hati jua menyatakan 'Ya',  "Ia tidak akan ditemukan dan diselesaikan oleh insan lain.. . Ia datang dari dalam kalbu. Dari dalam sana . Hanyasa  jawapan dari mukjizat yang satu-satunya ini jawapanNYA kepada ku..."


Maka,
helaian surah-surah tersebut telah mengalirkan airmata ini tatkala membaca surah dan tafsirannya yang berkenaan. {teman, sila rujuk bacaan/tafsiran surah-surah tersebut andai anda ingin ketahui secara menyeluruh..}.


Takdir pertemuan saya kepada surah Al-Isra' sebanyak dua kali berturut-turut. Penegasan terhadap istilah/maksud Al-Isra' itu sendiri sangat mendalam. Di awal bacaan saya agak terkedu {tertanya, mengapa saya ditemukan dengan surah yang satu ini sebanyak dua kali selang beberapa hari}. Meneruskan bacaan . Sungguh tidak dapat menahan hati di dalam . saya memeluk dan mengucup Qalamullah hingga hampir basah dek linangan airmata. . Allah .

{ini pun masih berat hati berkongsikan ini.. . masih juga menaipkan ini dalam linangan tanpa sedar}

--memikirkan--


Pagi ini. Saya cuba mencari-cari maklumat tentang hikmah Al-Isra' .
Hati menunjuk arah, "cuba singgah ke web yang satu ini...mungkin di situ ada pengukuhan."


Ya, benar. {bagaikan di rencana}  . Allah .

Saya cedok sedikit dan banyaknya Ilmu orangnya buat wadah saya dan teman semua :-
{Mujadalah}


-- -- -- 

Isra’ 
bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Masjidil Aqsa. Ini direkodkan di dalam Al-Quran:-
 
“Maha Suci yang telah menjalankan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang diberkahi sekelilingnya untuk meneranginya dengan ayat-ayat Kami.”
[Surah Al-Israa’ ayat 1]

 

Mi’raj 
pula bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Aqsa, ke langit tertinggi – Sidratul Muntaha – untuk bertemu dengan Allah SWT.
Terdapat hadith yang panjang menceritakan perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha, dan boleh dirujuk di dalam Kitab Raheeq Al-Makhtum.
Isra’ dan Mi’raj berlaku selepas Tahun Kesedihan, yakni selepas kematian Khadijah dan Abu Tolib, juga selepas peristiwa berdarah yang dilalui oleh Rasulullah SAW di To’if. 

Tahun yang merupakan tahun kesedihan bukan dek kerana kematian dua orang manusia yang disayangi oleh Rasulullah SAW, tetapi menurut guru saya – Sheikh Mehmed Thowalbeh – tahun itu dinamakan Tahun Kesedihan kerana kerasnya penolakan orang ramai terhadap Islam.
Maka Isra’ dan Mi’raj ini selain bertujuan menurunkan syariat solat kepada ummat, ianya juga adalah sebuah perjalanan untuk menghiburkan jiwa Rasulullah SAW yang tergoncang hebat dengan ujian yang Allah SWT berikan. 

Dengan perjalanan Isra’ dan Mi’raj ini, keimanan Rasulullah SAW dipertingkatkan lagi, dengan terpampang dengan jelasnya syurga dan neraka di hadapan baginda, bahkan berbicara secara langsung dengan Allah SWT sendiri.


Pengajaran 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Isra’ dan Mi’raj menjadi satu titik di mana kita dapat melihat bahawa sekuat mana pun seorang manusia, maka dia memerlukan sokongan Tuhannya. Dia perlu bergantung kepada Allah SWT untuk meneruskan perjalanannya. Rasulullah SAW dipujuk dengan Isra’ dan Mi’raj, begitulah kita juga perlu dipujuk oleh Allah SWT kerana kita hanya manusia biasa. Namun pastinya kita tidak dihadiahkan dengan hadiah seistimewa Rasulullah SAW – yakni perjalanan Isra’ dan Mi’raj itu sendiri.
 
Namun, lihatlah apa yang Rasulullah SAW bawa pulang dari perjalanan Isra’ dan Mi’raj sebagai hadiah daripada Allah SWT untuk sekalian ummat Islam?

Solat lima waktu.

Itulah dia pujukan Allah SWT kepada ummat. Memulakan hari dengan hubungan erat bersama Allah SWT pada waktu Subuh, mempunyai checkpoint rehat untuk mengadu dan meminta kekuatan kepada Allah SWT pada Zuhur, Asar dan Maghrib. Dan sebelum menutup hari, kita dapat menumpahkan segala penyesalan kita akan salah silap kita pada hari ini serta harapan dan cita-cita kita pada hari esok dengan Solat Isya’. Kelima-lima Solat Fardhu ini adalah untuk memastikan hubungan seorang hamba dengan Allah SWT sentiasa berjalan. Manusia diajar untuk sentiasa memeriksa hubungannya dengan Allah SWT.
Kerana kita memerlukanNya.
 
Besarnya perkara ini, hingga Solat itu tidak diturunkan sebagaimana hukum-hukum biasa. Rasulullah SAW sendiri perlu naik ke langit, mendapatkannya. Kerana itu solat ini masyhur sebagai tiang agama. Kerana jika kita tidak punya hubungan baik dengan Allah SWT, di manakah harganya agama kita?
 

Persoalannya, apakah kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT?

Adakah kita menghargai hadiah daripada Allah SWT ini, atau kita campakkan sahaja ke tepi?
 
Adakah kita solat dengan bersungguh-sungguh, dan menjadikannya sebagai checkpoint untuk mengadu dan meminta kekuatan daripada Allah SWT?


Kemudian kita hairan mengapa kita ‘lemah’ untuk menghadapi duga dan duka kehidupan yang memang akan sentiasa menghampiri kita sehingga kita mati?
 
Muhasabah.


Pengajaran 2: Hidup Akan Ada TapisanNya.
 
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah peristiwa yang tidak masuk dek akal.  Seorang lelaki tanpa teknologi jet berkelajuan tinggi, tiba-tiba boleh bergerak dari Makkah ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit tertinggi, seterusnya pulang ke Makkah dalam masa semalam sahaja. 

Bukan sehari semalam, tetapi semalam sahaja. Bermakna, kurang dari 12 jam, bahkan kurang dari 5-6 jam.
 
Peristiwa yang luar dari capaian akal ini menjadi ‘tumbukan’ hebat para musyrikin Quraisy untuk menghentam perjuangan Rasulullah SAW. Akibat bombastiknya peristiwa ini, akhirnya ramai yang lemah keimanannya meninggalkan Islam dan merasakan Muhammad SAW telah menjadi gila.

Namun jika kita perasan, selepas peristiwa Isra’ dan Mi’raj, tidak lama selepas itu berlakulah peristiwa Hijrah

Kita mengetahui bahawa peristiwa Hijrah ke Yathrib/Madinah menjadi point terpenting dalam pembinaan sebuah daulah Islam, yang selepas itu menguasai seluruh jazirah arab termasuk Makkah sendiri, seterusnya memberikan kegentaran kepada Rom dan Parsi.
 
Maka dapat kita lihat bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah satu bentuk ‘tapisan’ yang dijalankan oleh Allah SWT kepada ummat Islam ketika itu. Agar hanya yang terbaik sahaja yang akan melepasinya, dan menjadi asas-asas utama kepada pembinaan daulah Islam di Madinah.
 
Allah SWT berfirman:  
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan berkata: kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?” 
[Surah Al-Ankabut ayat 2.]
 
Begitulah kita perlu mengambil pengajaran.  Bahawa di dalam kehidupan ini, kita akan ditapis dengan pelbagai jenis ujian. Baik kesusahan, baik kesenangan, atau ujian dalam bentuk ideologi. 

Yang mana akan ada dari kalangan kita yang tumbang, dan akan ada dari kalangan kita akan mara ke hadapan. Yang berjaya akan menjadi batu-batu asas kepada kemenangan Islam di masa hadapan.
 
Maka adalah merupakan satu urgensi untuk kita memperkasakan diri dari segi ilmu agama, ilmu realiti, agar berlakunya peningkatan intelek pada minda kita, serta diperkasakan juga hubungan kita dengan Allah SWT, menjaga ibadah dan memberikan makanan kepada hati kita, agar kita terselamat dari tapisan ini, seterusnya menjadi yang mara ke hadapan membawa perjuangan agama ini.


Penutup: Sama-samalah kita Menjaga Hubungan dengan Allah SWT
 
Maka marilah kita perhatikan hubungan kita dengan Allah SWT.
Jangan kita ambil endah dengan kesihatan hubungan kita denganNya.
Pastikan ibadah kita terjaga, dan ilmu kita berkenaan agamaNya diperdalamkan. 

Sentiasalah bermuhasabah, dan melakukan pembaikan terhadap diri kita. Benda baik kita tambah-tambahkan dan jadikan darah daging, benda buruk kita kurang-kurangkan dan jauhi.
 
Ramadhan juga semakin hampir. Adalah perlu kita meningkatkan stamina keimanan kita, agar kita mampu menggempur Ramadhan dengan tenaga kita yang tertinggi, dan memungut pelbagai lagi hadiah yang Allah SWT taburkan buat kita di dalam bulan yang mulia tersebut.

Jangan lengah memperbaiki diri.

Sampai ke Ramadhan pun belum tentu lagi.

Jangan tunggu.

---sumber---


Allahumma salli 'ala muhammad.

InsyaAllah...

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
 

Rabbanaa Laa Tuyigh Quluubanaa Ba'da Idz Hadaitanaa wa Hab Lana Mil-Ladunka Rahmatan Innaka Antal-Wahhaab
aamiin.

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia).

(QS. Ali Imran: 7)










Tiada ulasan:



NetOops protected image