KALAM HIKMAH

Apabila anda berada di pagi, jangan menunggu datangnya waktu petang. Hiduplah dalam batasan hari ini sahaja. Curahkan seluruh perhatian anda untuk menjadi lebih baik di hari ini.

Cubalah mengasingkan diri dari manusia, kecuali untuk kebaikan. Jadilah orang yang sentiasa berada di dalam rumah. Laksanakanlah urusan anda dengan baik dan kurangilah pergaulan anda dengan orang lain tanpa faedah.

Perbanyakkanlah mengucap La haulawala quwwata illa billah, kerana kalimah ini dapat melapangkan dada anda, memperbaiki keadaan, perkara yang berat menjadi ringan, dan akan menjadikan diri anda diredhai oleh Dzat Yang Maha Kuasa.

Bergembiralah dengan pilihan Allah untuk anda, sebab anda tidak tahu tentang maslahat yang tersembunyi di sebaliknya. Boleh jadi kesulitan itu lebih baik bagi anda daripada kesenangan.

Yakinlah anda, bahawa dunia ini merupakan tempat yang penuh dengan cubaan, bala', kesulitan dan kesedihan. Oleh kerana itu, terimalah ia seadanya dan selalulah minta pertolongan Allah.

Maniskanlah wajah anda kepada siapa saja, nescaya anda akan mendapatkan cinta kasih mereka. Haluskan tuturkata anda, pasti mereka akan mencintai anda. Dan tawadhu'lah terhadap mereka, pasti mereka akan menghormati anda.

Lihatlah orang yang lebih rendah dari anda dari segi tubuh badan, rupa, harta, rumah, pekerjaan, dan keluarga, nescaya anda akan menyedari bahawa anda masih lebih baik daripada ribuan orang lainnya.

Carilah rezeki yang halal, dan jauhilah rezeki yang haram dan janganlah anda meminta-minta kepada yang lain. Berniaga lebih baik daripada menjadi pegawai. Gandakan harta anda dengan berniaga, dan hiduplah dengan kesederhanaan.

Janganlah marah, sebab marah hanya akan merosakkan keadaan jiwa, mengubah budi pekerti, memperburukkan pergaulan, menghancurkan kasih-sayang, dan memutuskan tali silaturrahim.

Jika anda ingin merasakan kebahagiaan bersama orang lain, maka perlakukanlah mereka dengan cara yang sama yang anda sukai ketika mereka memperlakukan anda. Jangan merendahkan dan meremehkan martabat mereka.

Berbincang dengan teman dapat menghilangkan kesedihan. Bersenda gurau dapat menciptakan suasana santai. Mendengarkan syair dapat menenangkan hati.

Sahabat yang paling baik adalah orang yang sangat anda percaya dan membuat diri anda tenang bersamanya, membantu kesulitan anda, ikut prihatin dengan kegelisahan anda, dan ia tidak menyebarkan rahsia anda.


KATA MOTIVASI

Diri sendiri adalah teman yang paling rapat.

Sebaiknya, sebelum berkahwin lagi, keserasian diambil kira.

Barangsiapa mengahwini wanita kerana hartanya, maka dia telah menjual kemerdekaannya.

Wanita adalah bintang dan pelita bagi lelaki. Tanpa pelita, lelaki bermalam dalam kegelapan.

Wanita lebih cepat daripada lelaki dalam menangis dan dalam mengingatkan peristiwa yang menyebabkan dia menangis.

Seorang wanita yang bijaksana menambahkan gula pada kalimatnya setiap kali berbicara dengan suaminya, dan mengurangi garam pada ucapan suaminya.

Sesungguhnya tidak ada wanita yang sangat cantik, yang ada ialah kaum lelaki yang sangat lemah bila berhadapan dengan kecantikan.

Yakinilah pasangan anda itu adalah yang terbaik buat anda.

Orang yang bahagia sentiasa mudah apabila hendak tidur dan dia boleh tidur dengan lena dan bangkit dengan bersemangat.

Ingat anak-anak, ingat rumahtangga, ingat jiran tetangga, ingat latarbelakang diri, dan ingat agama tatkala bergaduh.

April 11, 2012

BAGAIMANA MENGGALAKKAN KEPINTARAN PADA DIRI ANAK

[Gambar hiasan sahaja]



















  •  Luangkan masa lapang untuk bermain dan jangan mengganggu anak anda sepanjang masa ; lebih banyak memerhati dan kurang campur tangan

  •  Sediakan ruang aktiviti di mana benda-benda boleh di susun dengan elok yang membolehkan anak anda memberi lebih tumpuan

  • Sediakan mainan mudah dan ringkas yang memerlukan penggunaan daya imaginasi untuk menyiapkannya

  • Galakkan anak anda bermain di luar rumah supaya dia boleh berhubung dengan alam semulajadi dan berpeluang bermain dengan pasir, tanah, air dan udara

  • Beri contoh kerja yang sebenarnya kepada anak anda supaya dia boleh menirunya ; suruh dia menolong anda mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk, memasak ; aktiviti-aktiviti ini boleh disepadukan dalam permainannya, dan ia boleh menolongnya belajar tentang kehidupan sebenar

  • Sediakan beberapa aktiviti seni yang membolehkan anak anda meluahkan perasaannya dengan bebas, misalnya melukis dengan jari, berus atau span, menggunakan warna-warna terang yang menarik; ia bukan sahaja menolong anak anda menyatakan perasaannya tetapi juga belajar tentang warna    

  • Ajarkan anak anda merekodkan pendapat, penemuan dan soalan di atas kertas atau pada pita audio/video   

  • Perdengarkan cerita kepada anak anda , terutama sekali cerita kisah nabi dan  teladan kerana cerita ini memberikan imej-imej sihat dan pengajaran yang dapat membentuk peribadi yang baik

  • Hadkan jumlah masa anak anda menonton televisyen, video dan filem      



TELEVISYEN MENGHALANG ANAK ANDA DARIPADA:

Meneliti, menapis dan menganalisa maklumat dan kemudian mengaplikasikannya dalam situasi sehari-hari                                        

Berlatih kemahiran motor , sama ada yang kasar atau halus

Berlatih koordinasi mata dan tangan

Menggunakan lebih daripada dua deria pada satu masa untuk meluaskan apresiasi persekitarannya

Bertanya soalan dan beroleh jawapan yang memberi pendidikan

Menerokai dan menggunakan sifat ingin tahunya sendiri

Mengamalkan inisiatif atau motivasi

Dicabar

Menyelesaikan masalah

Berfikir dengan analitis

Menggunakan daya imaginasinya

Berlatih kemahiran berkomunikasi

Meningkatkan kemahiran berbahasa

Menulis dan membaca

Menjadi kreatif atau konstruktif

Tidak dapat memupuk kebolehan memberi penumpuan untuk jangka masa yang lama disebabkan imbasan televisyen

Tidak dapat memupuk pemikiran yang lojik dan berurutan disebabkan tindakan sentiasa beralih ke depan ke belakang dan ke sisi
 ==================================================
 Ibu bapa mungkin berpendapat bahawa televisyen boleh merangsangkan daya imaginasi kerana kanak-kanak kerap kali melakonkan watak kegemaran mereka. Seperti kanak-kanak, tentunya kita semua suka meniru watak kegemaran kita, tetapi jika dirangsangkan dalam cara yang lebih aktif, misalnya dari segi berpakaian, kanak-kanak memang bijak mencipta watak mereka sendiri. Televisyen menerbitkan kemalasan imaginatif kerana ia memainkan fungsi ciptaan imaginatif.

Kadang-kadang televisyen memberikan pengalaman imaginatif yang bernilai kepada anak anda kerana mereka boleh belajar konsep-konsep baru, seperti memberitahu masa, dan berasa seronok melakukannya. Ia merupakan satu sumber maklumat kepada anak anda. Namun begitu, para pakar berpendapat bahawa menonton televisyen satu jam sehari sudah cukup untuk kanka-kanak kecil. Jika tidak, masa yang sepatutnya digunakan untuk permainan aktif, membuat penemuan dan perhubungan akan hilang dan boleh menghadkan perkembangan anak anda sepenuhnya.

sumber

April 10, 2012

PERSOALAN DITEMUKAN (2) ; Tingkah Laku Kanak-Kanak Menatih

Assalamualaikum, diharapkan saya, juga anda mendapat manfaat di atas
persoalan dan jawapan ini. Saya berkongsi dengan anda sedikit pengetahuan yang ada.
==================================================


BAGAIMANA MENGGALAKKAN ANAK SAYA BERKELAKUAN BAIK?

Kanak-kanak belajar daripada contoh yang ditunjukkan. Untuk menggalakkannya berkelakuan baik, anda perlu bertimbang rasa, baik hati, jujur dan sabar, dan memberinya kasih sayang. Jangan menjerit atau bersikap agresif. Apabila mendisiplinkan anak, anda perlu bertegas tetapi dengan penuh kasih sayang. 
Marahinya hanya apabila perlu dan anda mesti bersikap konsisten. Jika anda tidak membenarkannya bermain bola di ruang tamu, jangan biarkannya berbuat demikian ketika sahabat anda bertandang ke rumah. Berikan ganjaran untuk kelakuan yang baik seperti belaian dan perhatian - bacakan buku cerita kegemarannya atau bawa dia keluar berjalan-jalan, tetapi jangan belikan gula-gula. Apabila dia lebih besar dan memahami apa yang telah dicapainya, anda boleh memberikan ganjaran yang lebih formal. Buat masa ini, dia hanya perlu bersama-sama anda.


SAYA MEMUAKANNYA JIKA MEMBERI TERLALU BANYAK GANJARAN?

Bergantung kepada bentuk ganjaran yang anda berikan, tetapi secara umumnya, anda tidak akan memuakannya jika memberikan ganjaran yang bermerit atau wajar. Kanak-kanak yang tumbuh dengan penuh kasih sayang akan rasa selamat, bukan dimuakan.


DIA LEBIH NAKAL DARIPADA KANAK-KANAK LAIN. SALAH SAYAKAH?

Keperibadian tidak seluruhnya di bawah kawalan anda walaupun dia mungkin bertindak balas terhadap pengendalian anda dengan bertindak nakal. Pastikan anda sentiasa konsisten dan tenang. Ini tidak bermakna anda membiarkannya berkelakuan buruk - hanya disiplin anda sepatutnya dalam cara yang penuh kasih sayang tetapi tegas.


MENGAPAKAH DIA TIDAK BERMAIN DENGAN KANAK-KANAK LAIN?

Sebelum usia tiga tahun, kanak-kanak jarang sekali bermain bersama-sama kanak-kanak lain, tetapi biasanya boleh bermain di samping kanak-kanak lain. Sikap berkongsi bukan sifat semulajadi kanak-kanak menatih, terutamanya jika melibatkan barangnya. Jika ini masalahnya, jangan berhenti mempelawa kanak-kanak lain bermain di samping anak anda. Sebelum itu, berbincang dan dapatkan persetujuan anak anda tentang alat permainan yang akan dikongsi dengan kanak-kanak lain. Simpan alat mainan yang tidak mahu dikongsi.


ANAK SAYA TIDAK MAHU DUDUK DIAM. ADAKAH INI PERKARA BIASA?

Kanak-kanak menatih sangat bersifat ingin tahu. Melibatkan diri dalam semua perkara merupakan cara mereka meneroka dunia. Adalah perkara biasa bagi kanak-kanak menatih aktif sepanjang hari, terutama jika mereka tidak lagi tidur sekejap pada waktu siang.  Ini sebahagian daripada perkembangan normal mereka. Namun, sesetengah kanak-kanak sangat aktif dan tidak dapat menumpukan perhatian untuk tempoh masa yang lama (Gangguan Kurang Perhatian atau ADD). 
Berbincanglah dengan doktor jika anda risau.


DIA TIDAK LAKUKAN APA YANG SAYA SURUH. APA HARUS SAYA BUAT?

Mungkin anda terlalu cepat mengharapkan terlalu banyak daripadanya. Fikirkan sama ada permintaan anda wajar atau tidak, dan diungkapkan dalam frasa yang menarik atau sebaliknya. Anda tidak boleh memaksa kanak-kanak melakukan sesuatu - anda hanya boleh membuatnya hendak melakukan sesuatu. Elakkan konfrontasi dan gunakan kebijaksanaan anda. Menjelang usia dua tahun, kanak-kanak mungkin akan mengemaskan alat mainan mereka jika anda lakukan bersama-sama, atau anda mengubah aktiviti ini menjadi suatu permainan.


DIA BERKELAKUAN TIDAK BAIK DI TEMPAT AWAM. APA BOLEH SAYA BUAT?

Ramai kanak-kanak menatih memperlihatkan tingkah laku yang paling tidak baik di tengah-tengah orang yang paling ramai. Tidak kira apa pun tindak balas anda, ada ibu bapa yang bersimpati dan memahami apa yang anda lalui, dan ada yang menyalahkan anda kerana bersikap terlalu lembut atau terlalu keras. Oleh itu, kendalikan tingkah laku ini dengan cara yang serupa dengan apa yang anda lakukan jika tingkah laku itu ditunjukkan di tempat yang tidak terbuka ; uruskan dengan tegas, tenang, dan penuh kasih sayang.


DIA SELALU BERTANYA "KENAPA". BAGAIMANA MENGHENTIKANNYA?

Anda tidak patut berbuat demikian. Dari usia tiga tahun, atau lebih awal, kebanyakan kanak-kanak kerap bertanya "kenapa". Semakin masa berlalu, dia akan faham bahawa perkataan "kenapa" yang disambungkan dengan perkataan lain tidak sentiasa masuk akal. Jawab soalan seperti "Kenapa panas?" tetapi jangan pedulikan soalan seperti "Kenapa pintu?" kecuali anda faham maksudnya.


==================================================

APAKAH BUAT PERANGAI KANAK-KANAK MENATIH?

Buat perangai merupakan kemarahan mendadak yang tidak terkawal - suatu penyataan meradang dan marah yang biasanya berlanjutan selama beberapa minit. Sesetengah kanka-kanak menatih menjerit, menendang, menghentakkan kaki atau membantingkan badan. Keadaan ini biasa berlaku dalam usia ini.

Adakah keadaan ini serupa dengan keadaan usia dua tahun yang dahsyat?

Ya. Puncak usia bagi buat perangai adalah antara 15 hingga 36 bulan. Kebanyakan kanak-kanak dua tahun mengalaminya sekurang-kurangnya sekali seminggu, tetapi keadaan ini akan hilang kemudian.

Mengapakah hanya sesetengah kanak-kanak sahaja yang buat perangai?

Kanak-kanak yang tenang mungkin buat perangai, atau mengalaminya lebih lambat, tetapi mereka dapat mengatasi keadaan ini lebih awal. Namun, hingga suatu tahap, buat perangai merupakan sebahagian daripada proses menjadi lebih berdikari.

Dapatkah saya mengelakkan buat perangai?

Buat perangai lebih mungkin tercetus apabila kanak-kanak dihalang melakukan sesuatu. Apabila anak anda mahukan sesuatu, dia mahukan benda itu pada masa itu juga dan tidak memahami sebab dia perlu menunggu. Anda perlu bertegas dalam isu yang penting, tetapi jangan berkonfrontasi dalam perkara remeh. Kesabaran mengurangkan kekerapan buat perangai.

Bagaimanakah saya dapat membantu anak saya?

Apabila dia buat perangai, pastikan dia tidak menghadapi bahaya. Ada ibu bapa yang memukul anak mereka, tetapi tiada gunanya. Kanak-kanak ini tidak berada dalam keadaan fikiran yang dapat belajar daripadanya, dan tidak mengikut logik. Dia sedang marah dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Peluk dan yakinkannya apabila dia tenang.

Apa saya boleh buat untuk tetap tenang?

Jangan menggelabah, di mana jua anda berada. Anda lebih bijaksana dan lebih matang daripadanya - dan dia memerlukan anda tetap begitu. Pastikan sahaja dia selamat. Jika anda berada di rumah, cuba membelakangkannya, atau keluar dari biliknya. Buat perangainya akan berhenti kerana tiada gunanya dia berbuat demikian kerana tiada sesiapa memberi perhatian. Perkara yang penting, jangan mengalah. Buat perangainya tidak seharusnya mengubah cara anda mengendalikannya.

April 09, 2012

PERSOALAN DITEMUKAN ; mendisiplin kanak-kanak menatih

Disiplin dan Tingkahlaku
Kanak-kanak menatih [1- 2 1/2 tahun]




BAGAIMANAKAH MENDISIPLINKAN ANAK TANPA HILANGKAN KEYAKINANNYA?

Puji anak anda bagi setiap pencapaiannya daripada memarahinya disebabkan kesalahan. Daripada mengatakan "tidak" atau "jangan" setiap masa, seboleh-bolehnya anda bersikap positif dan memberi alasan mudah bagi cadangan anda. Adalah lebih baik berkata, "Berjalan di laluan pejalan kaki lebih selamat" daripada berkata "Jangan berjalan di jalan raya".


TIDAKKAH LEBIH MUDAH BIARKAN DIA BUAT APA YANG DISUKAINYA?

Tidak. Ini mungkin lebih mudah untuk jangka masa pendek, tetapi semua masyarakat ada peraturan walaupun anda tidak. Oleh itu, masalah pasti akan timbul pada masa depan. Untuk jangka masa panjang, sikap berlembut turut merosakkan seperti juga disiplin yang terlalu ketat. Kanak-kanak memerlukan batasan yang tetap. Membiarkannya melakukan apa yang disukainya merupakan resepi bagi kerosakan akhlak.


BAGAIMANA SAYA MENGHUKUMNYA ATAS KELAKUAN BURUK?

Bergantung kepada apa yang dilakukan, tetapi dalam usia ini, memarahinya secara tenang lebih berkesan. Elakkan kekerapan hukuman - merosakkan hubungan. Tindakan anda sepatutnya sesuai dengan kesalahannya dan sejurus selepas kesalahan dilakukan. Sebelum usia dua tahun, dia tidak sengaja nakal. Kelakuan buruknya mungkin kerana dia masih terlalu kecil untuk berfikiran jauh. Dia memerlukan masa untuk belajar membezakan yang betul dengan yang salah.


ADAKAH MEMUKUL SEKALI- SEKALA MEMBAHAYAKAN ANAK SAYA?

Pukulan memberi anggapan kepada kanak-kanak bahawa penggunaan kekerasan untuk mengatasi masalah merupakan tindakan yang diterima, oleh itu lebih berkemungkinan memukul orang lain. Pukulan juga boleh hilang kawalan, oleh itu, sepatutnya hanya untuk perbuatan yang berbahaya seperti berlari ke jalan raya. Pukulan sepatutnya tidak kuat dan tidak di kepala, dan hanya menggunakan tapak tangan. Kanak-kanak yang mempunyai ibubapa penyayang tidak akan rosak oleh pukulan yang lembut.


ADAKAH ANCAMAN BERKESAN?

Jika benar-benar dilaksanakan. Jika anda memberitahunya anda akan meninggalkannya jika dia tidak berhenti menjerit, lama-kelamaan dia tahu bahawa ancaman anda tidak bermakna. Sebaliknya, tidak membenarkannya membaca cerita kegemarannya merupakan ancaman yang realistik. Seperti disiplin lain, ancaman sepatutnya merujuk sesuatu dengan segera. Pada usia ini, dia inginkan perhatian anda, oleh itu ancaman tidak memberi perhatian mungkin berkesan.


MENGASINGKANNYA DI BILIKNYA SEBAGAI HUKUMAN IDEA BAIK?

Tidak. Ini mungkin menyebabkannya menghubungkan biliknya dengan hukuman. Apabila dia melakukan kesalahan, suruh dia berdiri di suatu sudut tempat anda dapat mengawasinya. "Masa rehat" ini mengasingkan anak anda dari tempat dia melakukan kesalahan, tanpa memberikannya perhatian. Tidak perlu lama-dua minit memadai bagi kanak-kanak dua tahun.


BAGAIMANA KAMI DAPAT BERHENTI SENTIASA MENJERIT MEMARAHINYA?

Menjerit mungkin berkesan, tetapi lama-kelamaan, keberkesanannya akan hilang. Oleh itu, sesuaikan kaedah ini untuk masa kecemasan dan cuba nyatakan perkara yang serupa dalam suara yang tenang. Seboleh-bolehnya bersikap positiflah. Daripada mengatakan "Jangan biarkan pintu terbuka", galakkan anak anda dengan berkata, "Tutup pintu", atau alihkan perhatiannya dengan berkata, "Mari lihat teka-teki ini bersama-sama ibu" daripada mengatakan "Jangan berbuai pada langsir itu". 
Tumpukan pada pujian apabila dia melakukan sesuatu yang baik. Jangan hiraukan masalah kecil. Sebelum dia cukup besar, simpan jambangan bunga atau barangan berharga daripada jangkauannya.


SAYA DAN PASANGAN SAYA TIDAK SEPENDAPAT TENTANG DISIPLIN?

Perbezaan dalam cara mendisiplinkan adalah perkara biasa. Anda, pasangan anda, atau penjaga kanak-kanak yang lain mungkin mengendalikan situasi yang sama dengan cara yang berbeza. Berbincanglah dengan orang dewasa yang lain, tanpa kehadiran anak anda, supaya terdapat sedikit keselarasan, dan untuk memastikan bahawa kuasa anda tidak berkurangan. Jangan mengalah untuk mengenakan disiplin hanya disebabkan konflik kecil antara orang dewasa.


BAGAIMANA SAYA TAHU ANAK SAYA ADA MASALAH TINGKAH LAKU?

Kebanyakan kanak-kanak tidak berkelakuan baik, sesetengahnya lebih kerap daripada yang lain. Biasanya tidak apa yang tidak kena, kecuali mungkin keperluan untuk mendapat lebih perhatian dan rasa selamat. Namun, dia mungkin mengalami masalah perangai jika tidak berhubung baik dengan anda, tidak suka dibelai, gagal bertentang mata, kurang minat terhadap orang lain, atau mengulangi tindakan tertentu dalam cara ritual seperti menggoyangkan badan atau memegang semua tombol pintu dalam susunan tertentu- simptom autisme. Jika anda risau minta nasihat doktor.

==================================================

PANDUAN IKHTIAR HIDUP IBU BAPA
ANAK MENATIH SAYA BERSIFAT AGRESIF

Seorang kanak-kanak mungkin memukul kanak-kanak lain sebagai suatu bentuk eksperimentasi. Dia akan terus melakukannya jika semua orang bergegas melihat apa yang berlaku. Perhatian negatif lebih menyeronokkan berbanding tiada perhatian langsung. Jika kanak-kanak yang seorang lagi menjerit atau menangis, keadaan ini memberikan lebih keseronokan kepadanya.

Apakah yang patut saya lakukan?

Jangan berikan perhatian kepada anak anda, sebaliknya berikan perhatian selama beberapa minit kepada kanak-kanak yang dipukulnya. Jika dia mendesak untuk mendapatkan perhatian anda, katakan anda tidak dapat mengurusnya kerana kanak-kanak yang seorang lagi terganggu.
Terangkan kemudian bahawa apa yang dilakukannya salah. Pada tahap ini, kanak-kanak tidak faham perasaan orang lain. Oleh itu, jangan beri banyak penerangan- ini suatu bentuk perhatian.

Anak saya ada kalanya memukul dan menendang saya. Apa saya boleh buat?

Jangan hiraukannya dengan keluar dari biliknya atau lakukan pekerjaan lain. Ini akan menarik perhatian anda yang berharga daripadanya. Anda tidak patut sama sekali menjadi marah atau bersikap agresif terhadap anak anda.

Anak saya menggigit kanak-kanak lain. Adakah suatu idea yang baik saya menggigitnya pula?

Tidak. Anda tidak sepatutnya menggigit anak anda kerana seorang kanak-kanak menatih tidak dapat mengaitkan tindakan anda menggigitnya dengan dia menggigit kanak-kanak lain. Ini hanya memberi anggapan bahawa perbuatan menggigit boleh diterima. Menggigit menyebabkan rasa sakit (dan boleh menyebabkan jangkitan) oleh itu hampir pasti mendapat perhatian ibu bapa. Ini biasanya berlaku terutamanya ke atas anak kembar, selain itu, hanya merupakan suatu tindakan agresif.

=================================================

April 04, 2012

Kerana syurgamu di telapak kaki Ibu

Anak-anakku,
Bukan semudah menyebut A,B atau C untuk mendidik kalian,
Dan bukan juga semudah mengira satu, dua dan tiga untuk memastikan kalian bijak berfikir dan berakhlak di masa hadapan. Bukan . bukan mudah. . .

Seawal ibu diijabkabulkan sedari itu ibu berusaha mencukupkan ilmu di dada. Ibu berusaha mencedok seberapa banyak ilmu yang termampu agar ibu dapat menjadi seorang ibu yang berilmu dan cemerlang dalam mendidik anak-anak ibu di kemudian hari. 

Berbagai-bagai persediaan yang ibu cuba pelajari pada ketika itu. Ada benarnya kata-kata ilmuan, "setiap ilmu yang ditimba tidak akan sama dengan pengalaman spontan yang diperoleh seseorang".
Ya sayang, ibu sudah punya pengalaman itu. Pengalaman itu mengajar ibu lebih tabah, sabar, cekal hati, yakin pada diri dan percaya pada setiap ujianNya bermaksud Dia menyayangi ibu dan Dia mahu ibu sentiasa mengingati-Nya setiap saat dan detik. Allahu akbar.

Anak-anak Ibu,
Kini kalian sudah dewasa. Sudah pandai dan bijak menguruskan diri sendiri. Namun, janganlah lupa pada ibu. Ibu sentiasa menyayangi kalian. Sekelumitpun ibu tidak terdetik di hati memilih kasih sayang antara anak-anak ibu. Semuanya tidak berbelah bahagi. Sama kasihnya, sama makan pakainya, sama bekalnya, sama belanjanya, cuma intonasi, nasihat, belaian ibu sedikit berbeza antara kalian kerana anak-anak ibu berlainan usianya. Oleh sebab itu, maka lainlah gaya layanan ibu. . . .maafkan ibu. Ibu tidak bermaksud membeza-bezakan kalian. Demi Allah! Dia Maha Mengetahui.



Mac 21, 2012

AJAR ANAK MEMASAK banyak manfaatnya. . . .

Anak yang suka dan pandai memasak wataknya berbeza dari anak yang tidak suka / tidak pandai memasak . Anak kita yang suka masak ( tidak kira lelaki atau perempuan ) senang mengisi masa . Ia mudah ceria kerana sudah membuat satu - satu rancangan untuk memasak lauk pauk yang ia harap akan menceriakan ibu , ayah atau adik beradik . Kemungkinan ia akan bangun awal , ghairah membuat persiapan , mengeluarkan bahan - bahan ( atau bersemangat hendak ke pasar membeli bahan - bahan yang diperlukan ), sambil menyusun alat - alat yang akan digunakan . Anak yang tidak dibiasakan memasak mudah bosan . Ia lebih harapkan ibu atau orang lain menyediakan apa yang ia perlukan . Ia mudah geram kerana yang diperlukan tidak ada , belum siap , dan ia mudah menyalahkan orang lain .

Sebenarnya bukan semudah yang dilihat mata . Nak didik anak - anak kecil supaya turut sama ke dapur alih - alih lain pula yang dibuatnya . Percayalah . Walau bagaimanapun , usaha tangga kejayaan . . tanpa usaha dan disiplin diri kepada anak kecil memanglah sukar nak dipraktikkan . Contoh. . kita orang melayu. . .kalau saya kata orang melayu pemalas dan pengotor. . .makanya saya juga akan dimarah , dikritik begitu dan begini . Nawaitu kita bukan mencari salah silap insan lain cuma sedikit peringatan sesama kita bangsa melayu Islam . Bilalah kita semua nak ada kesedaran diri bukan setakat terhadap diri sendiri sahaja bahkan mengcakupi seluruh ahli keluarga. . baik anak , ibu , bapa , datuk , nenek , bapa/ibu saudara dan seantarionya .

Contoh : -
Jika anak diajak ke pasar , banyak sungguh yang ia akan belajar ; cara menilai ikan segar atau tidak ; kenal jenis rempah ratus ; mempelajari nama - nama kuih muih dan masakan - masakan tradisional ; melihat berbagai jenis ulam , sayur - sayuran , dan banyak lagi . 
Pokoknya , ilmu , hakikat dan kesedaran anak tentang makanan , masakan , kesihatan dan sumber - sumber makanan diperluaskan .  

Bila menyiang ikan , ayam , ketam atau sayuran , anak belajar cara yang baik , selamat serta beradab . Ia juga pandai menjaga kebersihan , mengemas dapur dan cara menyimpan makanan dalam peti sejuk . Ia juga belajar erti jimat - cermat . Membawa anak ke dapur merupakan lawatan ke dunia biasa yang penuh dengan ilmu dan pengalaman yang mengkagumkan anak . Ia belajar alat - alat , cara menyimpan pinggan mangkuk , menyusun rempah - ratus , bawang , telur . Ia juga belajar cara - cara selamat bila membuka api atau bila goreng ikan , ayam atau keropok . 

Semoga dapat kita manfaatkan bersama - sama dalam menggilap potensi diri dan mendidik anak - anak untuk kebaikan mereka sendiri sepanjang hayat mereka . InsyaAllah .

Saya tinggalkan anda dengan satu video anak kecil yang berusia. . . . .( saya pun tak pasti )
Anda rasa??? Bukan saya mahu anda memuja muji teknik atau gaya bahasa / cara yang diajar oleh bangsa asing ini kepada anaknya. . . apa yang baik dan positif itulah yang kita boleh ambil sebagai panduan manakala yang sebaliknya harus bahkan wajib kita tapis sebagai sempadan .






NetOops protected image