Disiplin dan Tingkahlaku
Kanak-kanak menatih [1- 2 1/2 tahun]
BAGAIMANAKAH MENDISIPLINKAN ANAK TANPA HILANGKAN KEYAKINANNYA?
Puji anak anda bagi setiap pencapaiannya daripada memarahinya disebabkan kesalahan. Daripada mengatakan "tidak" atau "jangan" setiap masa, seboleh-bolehnya anda bersikap positif dan memberi alasan mudah bagi cadangan anda. Adalah lebih baik berkata, "Berjalan di laluan pejalan kaki lebih selamat" daripada berkata "Jangan berjalan di jalan raya".
TIDAKKAH LEBIH MUDAH BIARKAN DIA BUAT APA YANG DISUKAINYA?
Tidak. Ini mungkin lebih mudah untuk jangka masa pendek, tetapi semua masyarakat ada peraturan walaupun anda tidak. Oleh itu, masalah pasti akan timbul pada masa depan. Untuk jangka masa panjang, sikap berlembut turut merosakkan seperti juga disiplin yang terlalu ketat. Kanak-kanak memerlukan batasan yang tetap. Membiarkannya melakukan apa yang disukainya merupakan resepi bagi kerosakan akhlak.
BAGAIMANA SAYA MENGHUKUMNYA ATAS KELAKUAN BURUK?
Bergantung kepada apa yang dilakukan, tetapi dalam usia ini, memarahinya secara tenang lebih berkesan. Elakkan kekerapan hukuman - merosakkan hubungan. Tindakan anda sepatutnya sesuai dengan kesalahannya dan sejurus selepas kesalahan dilakukan. Sebelum usia dua tahun, dia tidak sengaja nakal. Kelakuan buruknya mungkin kerana dia masih terlalu kecil untuk berfikiran jauh. Dia memerlukan masa untuk belajar membezakan yang betul dengan yang salah.
ADAKAH MEMUKUL SEKALI- SEKALA MEMBAHAYAKAN ANAK SAYA?
Pukulan memberi anggapan kepada kanak-kanak bahawa penggunaan kekerasan untuk mengatasi masalah merupakan tindakan yang diterima, oleh itu lebih berkemungkinan memukul orang lain. Pukulan juga boleh hilang kawalan, oleh itu, sepatutnya hanya untuk perbuatan yang berbahaya seperti berlari ke jalan raya. Pukulan sepatutnya tidak kuat dan tidak di kepala, dan hanya menggunakan tapak tangan. Kanak-kanak yang mempunyai ibubapa penyayang tidak akan rosak oleh pukulan yang lembut.
ADAKAH ANCAMAN BERKESAN?
Jika benar-benar dilaksanakan. Jika anda memberitahunya anda akan meninggalkannya jika dia tidak berhenti menjerit, lama-kelamaan dia tahu bahawa ancaman anda tidak bermakna. Sebaliknya, tidak membenarkannya membaca cerita kegemarannya merupakan ancaman yang realistik. Seperti disiplin lain, ancaman sepatutnya merujuk sesuatu dengan segera. Pada usia ini, dia inginkan perhatian anda, oleh itu ancaman tidak memberi perhatian mungkin berkesan.
MENGASINGKANNYA DI BILIKNYA SEBAGAI HUKUMAN IDEA BAIK?
Tidak. Ini mungkin menyebabkannya menghubungkan biliknya dengan hukuman. Apabila dia melakukan kesalahan, suruh dia berdiri di suatu sudut tempat anda dapat mengawasinya. "Masa rehat" ini mengasingkan anak anda dari tempat dia melakukan kesalahan, tanpa memberikannya perhatian. Tidak perlu lama-dua minit memadai bagi kanak-kanak dua tahun.
BAGAIMANA KAMI DAPAT BERHENTI SENTIASA MENJERIT MEMARAHINYA?
Menjerit mungkin berkesan, tetapi lama-kelamaan, keberkesanannya akan hilang. Oleh itu, sesuaikan kaedah ini untuk masa kecemasan dan cuba nyatakan perkara yang serupa dalam suara yang tenang. Seboleh-bolehnya bersikap positiflah. Daripada mengatakan "Jangan biarkan pintu terbuka", galakkan anak anda dengan berkata, "Tutup pintu", atau alihkan perhatiannya dengan berkata, "Mari lihat teka-teki ini bersama-sama ibu" daripada mengatakan "Jangan berbuai pada langsir itu".
Tumpukan pada pujian apabila dia melakukan sesuatu yang baik. Jangan hiraukan masalah kecil. Sebelum dia cukup besar, simpan jambangan bunga atau barangan berharga daripada jangkauannya.
SAYA DAN PASANGAN SAYA TIDAK SEPENDAPAT TENTANG DISIPLIN?
Perbezaan dalam cara mendisiplinkan adalah perkara biasa. Anda, pasangan anda, atau penjaga kanak-kanak yang lain mungkin mengendalikan situasi yang sama dengan cara yang berbeza. Berbincanglah dengan orang dewasa yang lain, tanpa kehadiran anak anda, supaya terdapat sedikit keselarasan, dan untuk memastikan bahawa kuasa anda tidak berkurangan. Jangan mengalah untuk mengenakan disiplin hanya disebabkan konflik kecil antara orang dewasa.
BAGAIMANA SAYA TAHU ANAK SAYA ADA MASALAH TINGKAH LAKU?
Kebanyakan kanak-kanak tidak berkelakuan baik, sesetengahnya lebih kerap daripada yang lain. Biasanya tidak apa yang tidak kena, kecuali mungkin keperluan untuk mendapat lebih perhatian dan rasa selamat. Namun, dia mungkin mengalami masalah perangai jika tidak berhubung baik dengan anda, tidak suka dibelai, gagal bertentang mata, kurang minat terhadap orang lain, atau mengulangi tindakan tertentu dalam cara ritual seperti menggoyangkan badan atau memegang semua tombol pintu dalam susunan tertentu- simptom autisme. Jika anda risau minta nasihat doktor.
==================================================
PANDUAN IKHTIAR HIDUP IBU BAPA
ANAK MENATIH SAYA BERSIFAT AGRESIF
Seorang kanak-kanak mungkin memukul kanak-kanak lain sebagai suatu bentuk eksperimentasi. Dia akan terus melakukannya jika semua orang bergegas melihat apa yang berlaku. Perhatian negatif lebih menyeronokkan berbanding tiada perhatian langsung. Jika kanak-kanak yang seorang lagi menjerit atau menangis, keadaan ini memberikan lebih keseronokan kepadanya.
Apakah yang patut saya lakukan?
Jangan berikan perhatian kepada anak anda, sebaliknya berikan perhatian selama beberapa minit kepada kanak-kanak yang dipukulnya. Jika dia mendesak untuk mendapatkan perhatian anda, katakan anda tidak dapat mengurusnya kerana kanak-kanak yang seorang lagi terganggu.
Terangkan kemudian bahawa apa yang dilakukannya salah. Pada tahap ini, kanak-kanak tidak faham perasaan orang lain. Oleh itu, jangan beri banyak penerangan- ini suatu bentuk perhatian.
Anak saya ada kalanya memukul dan menendang saya. Apa saya boleh buat?
Jangan hiraukannya dengan keluar dari biliknya atau lakukan pekerjaan lain. Ini akan menarik perhatian anda yang berharga daripadanya. Anda tidak patut sama sekali menjadi marah atau bersikap agresif terhadap anak anda.
Anak saya menggigit kanak-kanak lain. Adakah suatu idea yang baik saya menggigitnya pula?
Tidak. Anda tidak sepatutnya menggigit anak anda kerana seorang kanak-kanak menatih tidak dapat mengaitkan tindakan anda menggigitnya dengan dia menggigit kanak-kanak lain. Ini hanya memberi anggapan bahawa perbuatan menggigit boleh diterima. Menggigit menyebabkan rasa sakit (dan boleh menyebabkan jangkitan) oleh itu hampir pasti mendapat perhatian ibu bapa. Ini biasanya berlaku terutamanya ke atas anak kembar, selain itu, hanya merupakan suatu tindakan agresif.
=================================================
Tiada ulasan:
Catat Ulasan