Semoga Allah Yang Maha Agung menolong kita supaya setiap perkataan yang kita ucapkan adalah baik. Sesungguhnya berbicara itu mudah, tetapi adalah berat bagi melaksanakannya. Mulut bagaikan muncung teko yang hanya tahu mengeluarkan isinya sahaja. Walau apapun yang kita katakan, ia menunjukkan siapakah diri kita sebenarnya. Contohnya, penghinaan kita terhadap seseorang sebenarnya menunjukkan kehinaan diri kita sendiri apabila dibandingkan dengan kehinaan orang yang kita hina.
Perkataan yang baik membuktikan keislaman seseorang. Sesungguhnya,
setiap orang hendaklah memastikan kata-kata yang diucapkannya adalah
benar-benar baik. Apabila kita tidak yakin dapat mengeluarkan kata-kata
yang baik, berdiam diri adalah lebih baik. Tetapi, menghindari akibat
daripada perkataan yang kurang baik lebih bermanfaat daripada memaksa
diri berbicara yang mengakibatkan sesuatu yang buruk kepada diri sendiri
mahupun orang lain.
Alangkah rugi apabila waktu kita dihabiskan sekadar berbicara
berkaitan dengan perkara-perkara yang tidak penting. Kadang-kadang kita
tidak mampu memastikan topik yang kita bicarakan itu bermanfaat ataupun
tidak. Bahkan seringkali kita tidak berdaya menghindarkan diri daripada
perbualan yang berbaur fitnah, umpatan dan permusuhan. Semoga Allah
mengurniakan kepada kita kemampuan untuk menjaga lidah kita supaya
sentiasa berbicara mengenai perkara yang bermanfaat.
RENUNGAN :
Ada baiknya sekiranya kita memahami kelebihan orang lain dalam berbicara. Ada empat jenis perkataan iaitu:
1- Perkataan yang bijak
Sekiranya berbicara setiap kata-katanya jelas dan bernilai. Setiap
perbualan sarat dengan ilmu, hikmah dan zikir, sehingga setiap orang
yang mendengar berasakan manfaat daripada kata-katanya. Apabila
membicarakan sesuatu, dia selalu memberikan sesuatu yang berfaedah
kepada orang yang mendengarnya. Kata-kata orang yang bijak ini selalu
dinanti-nantikan. Namun, biasanya orang yang bijak tidak terlalu
melepaskan kata-katanya. Bahkan, dirinya lebih senang mendengar orang
lain bercakap bagi mengambil hikmah dari percakapan itu.
2- Perkataan orang biasa
Perbualan kosong tiada asasnya. Segala kejadian yang dilihat
dijadikan cerita ataupun dijadikan ulasan. Waktu yang digunakan bagi
berkata-kata lebih banyak daripada nilai yang diperoleh. Selama 2 jam
digunakan bagi berbual kosong, tetapi kesemuanya tiada nilai walaupun
sedikit. Contohnya, dia hanya sibuk bercerita mengenai bola sepak,
pelanggaran kereta, gosip serta sesuatu yang tidak ada hikmahnya. Orang
yang sibuk bercerita tanpa ada pengajaran, ilmu, zikir adalah orang
biasa. Orang yang membiarkan waktu berlalu dengan begitu sahaja. Orang
itu berada dalam kerugian.
3- Perkataan orang yang martabatnya rendah
Ia adalah perkataan yang berisi keluhan, hinaan, cacian dan makian.
Orang seperti ini sebenarnya tidak pernah menerima semua yang ada di
hadapannya. Dia selalu sahaja mencari-cari kekurangan benda di
sekelilingnya. Apabila diberi makan bersungut, “Sayang, makanan ini
kurang panas.” Apabila sudah dipanaskan, “Kurang garam pula,” katanya.
Apabila sudah diletakkan garam, merungut pula, “Lebih sedap sekiranya
ada kicap.” Dan seterusnya tidak ada yang sesuai dengan kehendaknya.
Apabila melihat pada suasana biasa, mereka berkata, “Orang-orang
bandar ada-ada saja kerjanya.” Melihat ustaz pula, “Ah, kerjanya hanya
cakap kosong sahaja.” Semua menjadi perkara yang kurang senang
dimatanya.” Ada orang hanya bercakap mengenai keburukan sahaja. Setiap
perkataan yang diungkapkan hanya memperlihatkan kehinaan dirinya.
4- Perkataan orang yang dangkal
Siapakah dia? Ciri-cirinya terdapat pada setiap percakapannya yang
kosong itu. Dia lebih sibuk menceritakan kehebatan dirinya sendiri. “Ini
adalah jasaku, dia itu aku yang mendidiknya.” Orang seperti ini mahu
dirinya dihargai masyarakat sehingga selalu menyebut mengenai kebaikan
yang dilakukannya. Orang yang tiada harga diri memang selalu ingin
dihargai.
Semoga Allah Yang Maha Mendengar meletakkan kita di kalangan
orang-orang yang berasa dirinya sentiasa hampir dengan Allah, dan Allah
sentiasa mendengar semua daripadanya. Terjadinya pembohongan adalah
kerana orang yang membuat pembohongan itu tidak merasakan segala
percakapannya didengari oleh Allah. Kita tidak perlu kepada kata-kata
yang indah. Apa yang kita perlukan adalah kata-kata yang dapat
dipertanggungjawabkan di hadapan Allah dan manusia. Allah menjadikan
setiap kata-kata kita terpahat di hati orang yang mendengarnya.
RENUNGAN :
Subhanallah! Kekuatan terbesar dari kata-kata adalah kata-kata yang
dapat memberikan manfaat kepada orang lain yang mendengarnya.
Mari kita renung kata-kata ini. Percayalah, diam itu emas. Orang yang
sanggup memelihara lidahnya lebih hebat berbanding dengan orang yang
suka menghamburkan kata-kata tetapi kosong dan tiada makna. Sentiasa
berusaha supaya setiap perkataan yang kita ungkapkan benar-benar bersih
daripada perkara-perkara buruk yang tiada ertinya.
Muhasabahlah diri kita selalu, di mana, bila dan dengan siapa kita
berbicara supaya setiap perkataan yang terucap benar-benar bernilai dan
tinggi maknanya.
Di dalam hadis ada menyatakan Nabi Muhammad SAW bersabda, “Keselamatan manusia terletak pada lisan yang terpelihara.”
Muslim berkata, “Sesungguhnya muslim adalah orang yang saudaranya selamat daripada gangguan lisan dan tangannya.”
Muslim juga pernah mengatakan, “Maka berkatalah yang baik atau berdiam sahaja.”
Allah menjelaskan di dalam al-Quran Surah Fussilah ayat 33 yang bermaksud,
“Siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri’.”
sumber: Akhlak & Adab, Muamalah, Tafakur (Muhasabah), Tazkirah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan